KUCHING: Pendidikan adalah penting bagi memastikan anak-anak kita boleh bersaing dalam Revolusi Industri 4.0.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Seri Micheal Manyin berkata, sehubungan itu, negara-negara maju seperti Singapura, Jepun, Korea mahupun Finland amat menekankan kepentingan kualiti pendidikan untuk anak-anak mereka.

Katanya, pendidikan yang berkualiti harus bermula pada peringkat sekolah rendah kerana pada fasa tersebut adalah amat mudah untuk membentuk pelajar-pelajar.

“Jika anak-anak kita tidak mendapat keputusan yang baik, janganlah kita salahkan anak-anak serta guru.

“Apa yang lebih penting ialah anak-anak mempunyai memahami apa yang dipelajari ketika di peringkat sekolah rendah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Memperkasa Pengurusan Dan Kepimpinan Sekolah Rendah Sarawak, siri 5/2019 di Hotel UCSI, semalam.

Tujuan bengkel tersebut adalah untuk meningkatkan kualiti kemahiran pengurusan dan kepimpinan guru besar.

Untuk tahun ini, Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Sarawak dan Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak telah melatih 858 dari 1265 Guru Besar di Seluruh Sarawak dari Ogos 2018 hingga Jun 2019.

Menurut data yang diberikan oleh Jabatan Pendidikan Sarawak, 40 daripada 60 sekolah yang mengikuti bengkel pada siri pertama menunjukkan peningkatan sebanyak 2.82 peratus untuk kepu- tusan UPSR pada tahun 2018.

Untuk siri yang kelima ini, seramai 103 guru besar dari zon selatan menghadiri bengkel lima hari ini. Guru besar dipilih berdasarkan prestasi keputusan UPSR sekolah mereka.

Kementerian juga menggesa guru-guru untuk menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sama untuk pelajar tahun empat dan lima bagi menghadapi peperiksaan UPSR akan datang.