TANJUNG MANIS: Kerosakan Jambatan Loba Stubah akhirnya diperbaiki CMS Road dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sekaligus melegakan orang ramai yang menggunakan laluan Sibu – Tanjung Manis.

Kerosakan berpunca dipercayai berpunca daripada salah satu besi plat sambungan jambatan tercabut yang boleh membahayakan keselamatan pengguna.

Kejadian itu menjadi tular selepas disebarkan oleh netizen di laman sosial Facebook sejak awal pagi tadi.

Ia turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad yang kemudiannya menghubungi JKR Sarikei bagi mendapatkan bantuan supaya kerosakan besi jambatan itu dibaiki segera.

Susulan aduan itu, kerja-kerja membaiki kerosakan jambatan dilakukan oleh agensi terbabit bagi memastikannya selamat dilalui orang ramai.

Menerusi komen ringkasnya di Facebook, Safiee mengucapkan terima kasih atas tindakan CMS Road dan JKR menyelesaikan masalah tersebut.

“Alhamdullilah, kerosakan telah diperbaiki. Tahniah dan terima kasih kepada pihak CMS Road dan JKR kerana telah bertindak segera setelah dimaklumkan tentang perkara ini.

“Kepada pemandu semua berhati- hatilah ketika memandu. Pandu cermat jiwa selamat,” katanya.