Mantan presiden Mohammed Mursi digulingkan secara kudeta 2013 daripada kerusinya oleh tentera, akhirnya meninggal dunia semasa dalam tahanan lawannya Presiden Abdel Fattah al-Sisi mantan ketua tentera Mesir yang kini penguasa Mesir.

Di Twitter, anak Mursi, Abdullah Mohamed menamakan bekas Menteri Dalam Negeri Mahmoud Tawfiq dan Magdy Abdel Ghaffar, hakim Shirin Fahmy, Shaaban al-Shami dan Ahmed Sabry serta Peguam Negara Nabil Sadek serta Ketua Perkhidmatan Risikan Abbas Kamel bersekongkol dan menjadi rakan kongsi al-Sisi dalam konspirasi pembunuhan Mursi.

Mursi, 67, pengsan di kandang kaca kalis bunyi semasa berlangsung perbicaraan di Kaherah atas dakwaan melakukan pengintipan Isnin lalu.

Beliau akhirnya meninggal dunia dan sangat ironi meskipun sudah tidak bernyawa lagi, kematiannya menghantui pihak berkuasa Mesir sehingga jasadnya tidak dibenar dibawa pulang untuk dikebumikan di kota kelahirannya ketika ramai menunggunya.

Kematiannya sudah disuarakan pemerintah walaupun dibatalkan serentak hukuman mati terhadap ratusan anggota Ikhwan Muslimin diganti dengan vonis 20 tahun penjara.

Kudeta Militer

Pada sidang pertama, Mursi berteriak dari kerusi terdakwa bahawa dirinya korban “kudeta militer” dan menolak semua tuduhan yang dianggapnya palsu.

Jika Mursi meninggal lebih awal melalui hukuman mati atau apa-apa cara diakukan pemerintah Mesir, dunia Arab pasti berterusan bergolak ketika itu selepas diancam Arab Spring pasca-Hosni Mubarak.

Sejarah anggota Ikhwanul Muslimin dengan penjara sangat rapat. Termasuk dalam isu Mursi, Mesir sehingga hari ini tidak pernah berhenti memenjarakan tokoh Ikhwan Muslimin dengan penyeksaan di penjara yang tiada bandingannya.

Inilah yang dihadapi Hasan Hudaibi, Umar Tilminasi, Hamid Abu Nashr, Mustafa Masyhur, Ma’mun Hudaibi, Mahdi Akif termasuk Muhammad Badie.

Menjadi sejarah, pengasas Ikhwan Muslimin Hasan al-Banna, maut ditembak di jalan dan ketika dibawa ke hospital tiada doktor sudi menolongnya. Seperti Mursi, ketika Hasan al-Banna dibawa ke kuburan tidak diizinkan pengikut menghantar jenazahnya kecuali keluarga, anak dan isterinya.

Sayyid Qutb, berakhir di tiang gantung menolak bersekongkol dengan Gamal Abdul Nasr. “Aku tak akan pernah menukar keyakinanku dengan apa pun,” ucap Qutb.

Mursi pemimpin gerakan Ikhwanul Muslimin menjadi presiden pertama dilantik menerusi proses demokrasi pada 2012 selepas meraih 51.7 peratus pungutan suara.

Pemergian hafiz al-Quran dan dianggap syahid ini mendapat perhatian khusus pertubuhan Islam itu serta badan hak asasi manusia di seluruh dunia yang mengecam kematiannya sebagai bermotifkan politik.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan turut menggesa kerajaan Mesir dibicarakan di mahkamah antarabangsa atas kematian pemimpin demokrasi terbabit.

Namun, siapa berani menyentuh al-Sisi kini yang di belakangnya ada kuasa besar yang melabur banyak untuk menaikkan- nya dan melantunkan ekonomi Mesir yang hampir ranap.

Bukan Kematian Biasa

“Saya tidak percaya ia kematian biasa. Mursi dibunuh. Kami mengikuti perkembangan isu tersebut dan memastikan Mesir dibicarakan atas kematian Mursi,” Erdogan tegas menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bertindak.

Mursi akhirnya dikebumikan di timur Kaherah pada Selasa dihadiri ahli keluarganya. Ya, Mursi sudah meninggal dunia tetapi jasadnya terus menghantui al-Sisi dan sekutunya.

Sebelum ini, kumpulan hak asasi manusia termasuk PBB mengkritik situasi Mursi semasa dalam tahanan yang didakwa menerima layanan buruk kerajaan Mesir.

Keluarga beliau hanya pernah mengunjunginya tiga kali di penjara. Berulang kali kekhuatiran kesihatan Mursi sebelum ini yang ditahan di sel pengasingan, jauh dari kunjungan peguam disuarakan.

Namun, tiada siapa peduli nasib jurutera kelulusan Universiti Kaherah 1970-an ini yang menyelesaikan program doktor falsafah PhD-nya di AS.

Ketika beliau dikudeta tiada siapa kisah walaupun si bapa demokrasi dunia. Sehingga penjara memisahkannya dengan realiti juga semua terdiam. Akhirnya kematian menjemput Mursi di penjara, dunia masih bungkam, namun Mesir terus ditikam rasa ngeri!