KUCHING: Operasi antirabies di daerah Sri Aman, Lubok Antu dan Betong akan dijalankan secara serentak dari 31 Julai hingga 4 Ogos.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, operasi antirabies berkenaan adalah fasa kelima.

“Sebelum ini, kita berjaya dijalankan di daerah Serian dan Simunjan dari 20 hingga 24 Jun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat hasil siasat operasi antirabies di daerah Serian dan Simunjan di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menambah, dalam operasi itu kelak, suntikan vaksin antirabies secara percuma akan diberikan.

“Suntikan vaksin antirabies akan diberikan sepanjang operasi terbabit di rumah-rumah panjang bermula jam 4 petang,” katanya.

Sebagai rekod, operasi pertama antirabies dilakukan di daerah Bau dan Lundu bermula 1 Mac lalu.

Fasa kedua operasi antirabies dijalankan di Padawan bermula 4 hingga 8 April lalu.

Fasa ketiga operasi antirabies adalah di Kota Samarahan diikuti Kuching pada 21 April hingga 2 Mei lalu.

Fasa keempat ialah di daerah Serian dan Simunjan dari 20 hingga 24 Jun lalu.