PADAWAN: Seorang wanita warganegara Indonesia tidak sempat menjalankan kegiatannya mengedar dadah apabila dicekup selepas mendapatkan bekalan dari pengedar tempatan di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan, suspek berusia 44 tahun dari Samalantan, Sambas, Kalimantan Barat ditahan di hadapan pintu pagar Sekolah Swasta Sunny Hill di sini, sekitar jam 3.40 petang Selasa lalu.

Katanya pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek menjumpai beberapa paket dadah jenis syabu yang kesemuanya seberat 51.77 gram dan dianggarkan bernilai RM7,750.

“Dadah ini dipercayai diperolehi suspek dari pengedar tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidil berkata wanita itu yang juga didapati positif dadah turut mengaku ada mengambil dadah syabu buat kali terakhir pada hari ditangkap.

Katanya suspek mula terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak setahun lepas.

Beliau menambah wanita yang tidak mempunyai rekod kesalahan lampau itu kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan untuk tindakan lanjut.