Semalam Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan bakal membina rumah mampu milik untuk generasi mudah dengan hanya membayar kos pembinaan rumah antara RM80,000 hingga RM100,000.

Pembinaan perumahan kawasan baharu yang dicadangkan itu terletak di Buntal sehingga Bako, Sungai Maong hingga Segedup, Gita Baru, Kampung Senari dan Lundu termasuk kawasan Sematan menggunakan Mutiara Mortgage and Finance sebagai badan pemberi pinjaman bagi projek berkenaan.

Pembinaan ini sekali gus dapat mengatasi keperluan asas perumahan yang bersesuaian dengan golongan muda dan sederhana di bandar.

Dan ia sudah tentu dapat mengurangkan kos penyediaan kediaman untuk golongan ini dan meringankan tekanan hidup kepada mereka dalam memenuhi keperluan semasa di bandar dan pinggir bandar.

Malah ia akan menamatkan keluh-kesah tentang peningkatan kos sewa rumah, kos pengangkutan awam dan sebahagian barangan keperluan harian meningkat.

Harga rumah yang tinggi menjadi penyebab utama mengapa kuasa membeli generasi muda akhir-akhir ini berkurangan dan mengecut.

Malah tahap kebolehpinjaman anak muda amat terhad apatah lagi sebahagiannya terikat dengan tuntutan pinjaman PTPTN.

Ia menjadi sebab sebahagian daripada golongan ini gagal mendapatkan pinjaman bagi tujuan memiliki aset serta keperluan kehidupan mereka.

Ditambah dengan kos pengangkutan bandar antara RM200 hingga RM400 untuk minyak dan maksimum RM500 bagi pinjaman kenderaan, menyebabkan baki perbelanjaan harian agak terbatas inilah realitinya.

Tidak dinafikan di mana-mana apabila berlaku pembangunan pesat di bandar, permintaan terhadap perumahan meningkat tetapi kuasa membeli anak muda tetap terhad dan pada masa yang sama mereka kelihatan terpaksa mengalah kepada tuntutan keperluan seumpamanya.

Kemungkinan kerajaan boleh mempertimbangkan diskaun khas kepada golongan ini termasuk harga yang tidak terlalu tinggi bahkan dengan harga patut sambil memberi “ketenangan” kepada generasi muda yang hidup di bandar atau di pinggir bandar

Antara penyelesaian terbaik yang dilakukan Kerajaan Sarawak ialah membuka kawasan baharu untuk membangunkan skim penempatan semula bagi rumah mampu milik untuk rakyat yang memerlukan.

Cadangan ini pasti mampu menjadi titik tamat kepada sebahagian masalah pemilikan rumah dalam kalangan generasi baharu hari ini.

Impian anak muda kita akan terlangsai sedikit masa lagi kerana Jabatan Tanah dan Survei bakal menyukat kawasan berkenaan.

Lebih menarik kerana perumahan yang dibina Kerajaan Sarawak dilengkapi dengan kemudahan elektrik dan air, sistem perparitan konkrit dan jalan raya berturap.

Sudah pasti berita ini akan melenyapkan keperluan mendesak anak muda di kawasan bandar.