Mereka yang terpilih merupakan individu yang boleh dipercayai mampu menjadi penggerak serta ejen pendamai serta pembangunan setempat.

Realitinya memilih pemimpin peringkat akar umbi tidak boleh dibuat sebarangan kerana kesannya amat besar.

Dalam hal ini, ketua masyarakat yang berwibawa perlu melalui kriteria penting selain amanah dan bertanggungjawab.

Pada masa yang sama, mereka perlu adil dan saksama dalam menjalankan amanah bagi membela nasib orang bawahan.

Dalam erti kata lain, ketua masyarakat sebagai individu yang paling dipercayai perlu menjaga kepentingan penduduk di bawah jagaannya dan dia sewajarnya dihormati oleh orang bawahannya itu.

Justeru, semua ketua masyarakat dan ketua kaum diperingatkan agar tidak lalai dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

Ini kerana mereka membawa peranan penting dalam membantu kerajaan menyampaikan maklumat tepat dan sahih kepada masyarakat.

Telinga Kerajaan

Sebagai mata dan telinga kerajaan, pemanca, penghulu, ketua kaum, kapitan dan tuai rumah perlu lebih kerap turun padang untuk lebih dekat kepada masyarakat di samping mendengar keluhan dan membuat laporan kepada kerajaan.

Sehubungan itu, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh menegaskan, ketua masyarakat jangan memandang ringan amanah dan kepercayaan yang telah diberikan kepada mereka.

Katanya, pemimpin masyarakat bukan sahaja memberi maklum balas berhubung masalah rakyat tetapi turut memainkan peranan penting terutama bagi memastikan nasib rakyat di peringkat akar umbi dapat terbela.

Menurut Len Talif, pemimpin masyarakat juga perlu proaktif dan kreatif di samping berani dan bijak melaksanakan tanggungjawab supaya dapat menjadi contoh kepada penduduk di kawasan masing-masing.

“Pemimpin harus peka terhadap perkembangan setempat supaya pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, lancar dan efektif.

Mereka juga harus bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek itu,” katanya.

Pada masa yang sama, pemimpin masyarakat peringkat akar umbi juga berperanan penting membantu Kerajaan Sarawak meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat selain menjadi mata dan telinga yang berperanan sebagai penghubung antara masyarakat setempat dengan kerajaan.

Hubungan Baik

“Ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) perlu mempunyai hubungan yang baik dengan pihak Pejabat Daerah dan wakil rakyat masing-masing.

“Malah, kerjasama dan persefahaman antara pemimpin dengan akar umbi dapat memudahkan tugas wakil rakyat untuk menyelesaikan segala bentuk permasalahan penduduk,” katanya yang juga Adun Kuala Rajang.

Sejajar dengan perkembangan semasa, ketua masyarakat juga mesti peka terhadap sebarang bentuk isu bagi menangkis maklumat tidak tepat yang disebarkan

oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan sentiasa mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh.

Sehubungan itu KMKK perlu mendapatkan lebih banyak maklu mat tepat melalui pelbagai agensi berkaitan untuk mendapatkan maklumat sahih khususnya yang berkaitan dengan pembangunan dan kemajuan di kawasan masing-masing.

“Mereka juga perlu berpandangan jauh di samping memberi kerjasama sepenuhnya kepada usaha kerajaan, terutama daripada perspektif pembangunan jangka masa panjang,” katanya.

Hakikatnya, Kerajaan Sarawak terus mempraktikkan sistem muafakat dalam pemilihan ketua masyarakat.

Pemilihan haruslah berdasarkan kehendak komuniti setempat itu sendiri kerana ini merupakan cara terbaik dalam mewujudkan suasana harmoni berasaskan kepelbagaian kaum.