DARO: Lebih 3,000 orang hadir memeriahkan Majlis Jalinan Mesra Gawai Raya Peringkat Daerah Daro di sini, malam tadi.

Sambutan program anjuran Jawatankuasa Perayaan Daerah Daro (Pejabat Daerah Daro) inidimeriahkan lagi dengan penyertaan sebanyak 33 buah gerai mewakili kampung, agensi kerajaan, swasta, pelbagai pertubuhan dan persatuan.

Hadir sama, Ahli Parlimen P.207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abu Seman Jahwie, Pegawai Daerah Daro, Bujang Rahman Seli dan Ketua Polis Daerah Daro, Deputi Superitendan Polis (DSP), Neil Beginda.

Program itu menjadi gelanggang mewujudkan persefahaman yang lebih erat dalam kalangan penduduk di samping platform penyatuan hubungan kekeluargaan dan semangat muhibbah dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang, kaum dan kepercayaan agama.

Antara jemputan kenamaan yang hadir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dalam ucapan perasmiannya berkata, program yang disertai oleh masyarakat pelbagai kaum itu amat penting kerana mampu mempupuk perpaduan.

Malah katanya, konsep rumah terbuka boleh merapatkan hubungan pemimpin dengan rakyat selain menyemai semangat kerjasama serta muhibah dalam kalangan masyarakat.

“Saya cukup gembira dengan penganjuran sambutan Gawai dan Raya kali ini. Melalui program ini, kita dapat mengeratkan lagi hubungan antara kaum yang boleh sudah boleh dianggap seperti keluarga di sini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa agar pemimpin masyarakat seperti ketua kampung terus bersatu dan bekerjasama bagi memantapkan lagi usaha kerajaan membangunkan Daro.

Kerjasama antara pemimpin dan rakyat katanya, penting untuk memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih licin dan sempurna.

“Saya amat memerlukan sokongan rakyat khususnya ketua-ketua masyarakat bagi menterjemahkan perancangan kerajaan dalam bentuk pembangunan yang mampu memberi manfaat besar kepada penduduk khususnya di kawasan ini,” katanya.

Dalam majlis sama beliau turut menyampaikan sumbangan kepada seramai 22 orang pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Safiee, Ahmad Johnie dan Abu Seman bersama tetamu jemputan lain menyalakan pelita sebagai simbolik perasmian Majlis Jalinan Gawai Raya Daro.