SARATOK: “10 alat pemadam api tidak cukup untuk memadam kebakaran pada bahagian hadapan lori yang saya pandu,” kata Insing Janting, 49, selepas beliau menyelamatkan diri dan menghubungi pihak bomba dalam satu insiden behampiran Jambatan Burui, Jalan Saratok-Betong, hari ini.

Menurut pemandu lori pengangkut tanah bagi projek lebuh raya Pan Borneo itu, dia berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Saya cuma terkejut dengan apa yang berlaku.

“Pada mulanya saya mendapati kebakaran berlaku pada bahagian enjin lalu cuba memadam kebakaran menggunakan 10 unit pemadam api, tetapi tidak berjaya.

“Saya kemudiannya menghubungi pihak bomba,” katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, selepas rehat tengah hari beliau hanya sempat menghantar dua trip tanah sebelum terhidu bau getah yang terbakar.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok PPgB Nazry Mohamat yang dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1:37 petang.

“Perjalanan ke lokasi kejadian mengambil masa 14 minit dan sebaik tiba, didapati sebuah lori 10 tan milik Syarikat Pembinaan Kuantiti Sdn. Bhd. sedang terbakar di bahagian kepala lori.

“Pasukan kita bertindak mengaplikasikan konsep RECEO dengan PPE lengkap dengan alat pernafasan menggunakan satu aliran salur bantu mula air dari tangki jentera bagi mengawal dan memadam kebakaran sepenuhnya.

“Kita berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh singkat iaitu tiga minit,” ujarnya.

Lori tersebut merupakan kenderaan pengangkut tanah pembinaan lebuh raya Pan Borneo berhampiran Jambatan Burui di Jalan Saratok-Betong.