LAWAS: Kampung Long Tengoa mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dalam bidang pertanian.

Hal ini disebabkan faktor geografinya yang strategik dan mempunyai tanah yang subur.

Menteri Muda Pertanian, Abdul Rahman Ismail berkata, sektor penternakan ikan semah antara pertanian berpotensi besar untuk dibangunkan.

Katanya, jika perancangan ini berjaya dilakukan, nescaya akan memberi impak besar bukan sahaja dalam bidang pertanian, malah juga dalam bidang pelancongan.

“Setakat ini, sembilan kawasan sudah dikenal pasti mempunyai potensi sama di Lawas dan yang paling berjaya di Long Lidung.

“Oleh itu sistem Tagang Semah diperkenalkan bagi tujuan pemuliharaan sungai supaya ikan lebih banyak disamping mendidik orang agar menjaga persekitaran sungai habitat asal ikat tersebut,” katanya.

Beliau berkata semasa membuat lawatan kerja di Kampung Tengoa Lawas, di sini, hari ini.

Menurut Abdul Rahman, beliau akan terus memastikan pembangunan pertanian di akar umbi dengan memperbanyakkan program lawatan kerja.

Selaras dengan seruan Ketua Menteri Sarawak, Abang Jo dalam mentransformasi bidang pertanian di mana bermula tahun 2030 Sarawak menjadi negeri pengeskport utama dalam bidang pertanian.

Kata beliau, Sarawak masih banyak mengimport dari negara iaitu sebanyak 3.6 bilion terutamanya makanan haiwan ternakan seperti bijirin, bertih dan sebagainya.

Beliau turut menyeru agar masyarakat bahagian utara terus menjadi pemain utama dalam sektor penternakan kerbau

“Kerajaan Negeri pada masa ini melaksanakan sistem Pawah bagi penternak di mana pertani akan diberikan beberapa ekor kerbau dan selepas beranak kerbau tersebut perlu dipulangkan semula Untuk diserahkan kepada petani lain,” kata beliau.

Turut hadir, Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, Ketua Penolong Pengarah Perikanan Darat, Awang Alim, Penolong Pegawai Pertanian Lawas, Doraoup Mail dan Penolong Pegawai Vaterina Lawas, Rosline Asut.