KUCHING: Bintulu Port Sdn Bhd dan Gafung Petroleum (M) Sdn Bhd kini bekerjasama dalam perkhidmatan bunkering kapal atau proses pengisian bahan bakar ke kapal.

Kerjasama ini dimeterai menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Holdings Berhad Datuk Mohammad Medan Abdullah dan Pengarah Urusan Gafung Petroleum (M) Sdn Bhd Tang Kuok Sing.

Upacara turut disaksikan Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais.

Kerjasama dalam perkhidmatan bunkering kapal itu dilaksanakan bagi mempertingkatkan lagi kemudahan di Bintulu Port, pelabuhan ketiga terbesar di Malaysia dengan menerima hampir 7,000 kapal setiap tahun.

Ia turut menjadi gerbang utama untuk sebahagian besar aktiviti pengimportan dan eksport di Sarawak.

Gafung Petroleum (M) Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat Sarawak yang ditubuhkan pada tahun 2007.

Ia memiliki aset 16 kapal tangki jalan dan 16 unit kapal tangki minyak serta berpengalaman 12 tahun dalam membekalkan produk bunker seperti minyak gas marin, bahan api, diesel dan pelincir di luar pesisir dan darat di rantau ini.

Foto: Salfian Nawawi