KUCHING: Sembilan lelaki diberkas ketika sedang melayan dadah di dalam sebuah rumah di Jalan Rapong, Debak pada Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Superintendan Sahar Abd Latif berkata kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 42 tahun itu ditahan dalam Ops Sarang yang dijalankan pasukan JSJN IPK Sarawak antara jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Katanya lapan daripada lelaki terbabit adalah warga tempatan dan seorang dari Indonesia.

“Saringan air kencing mendapati lapan daripada mereka positif dadah jenis ganja dan amfetamin manakala seorang lagi negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sahar berkata kesemua suspek kini ditahan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Betong untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Rumah yang dijadikan sekumpulan lelaki sebagai tempat melayan dadah.

 

Sekumpulan lelaki yang ditahan dalam Ops Sarang ke atas sebuah rumah di Jalan Rapong, Debak.

 

Peralatan dadah yang dirampas daripada kesemua suspek.