KUCHING: Anak-anak Bandarsah mesti terus berani menjadi pejuang Sarawak seperti pemimpin-pemimpin kelahiran Kampung Melayu ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Jelasnya, antara tokoh kelahiran Bandarsah adalah mantan Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem termasuk beliau sendiri.

Abang Johari menyifatkan Kampung Bandarsah ibarat mutiara apabila melahirkan ramai pemimpin yang berjasa kepada Sarawak.

Justeru katanya, generasi baharu kampung itu harus bersama-sama mempertahankan Sarawak supaya terus kukuh dan aman.

“Negeri kita aman, mempunyai kekuatan sumber dan ekonomi diurus bijak… sebab itulah ramai orang mahu ambil.

“Sudah tentu keadaan ini mesti kita pertahankan melalui perpaduan.

“Jadi anak Bandarsah mesti ke depan menjaga Sarawak baik-baik,” katanya pada Majlis Ramah- Tamah Aidilfitri Pertubunan Anak Seni Bandarsah Kuching (PASBK) di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, semalam.

Dalam pada itu, Abang Johari turut memuji PASBK kerana aktif menjalankan program dan kegia- tan sosial yang memberi manfaat kepada anak-anak Kampung Bandarsah.

Justeru, beliau berkata, akan terus membantu PASBK dengan menambah kemudahan diperlukan.

Pada masa sama, beliau juga memberi jaminan pembinaan bangunan PASBK akan siap selewat-lewatnya dalam tempoh dua tahun akan datang.

Sementara sempena majlis itu, Abang Johari turut menyempurnakan pelancaran buku Bandarsah Gemilang karya Saiee Dris.

Buku ini merupakan salah satu inisiatif PASBK mengenai anak-anak Bandarsah yang telah berjaya dalam semua bidang termasuk politik, perniagaan, pendidikan, sukan dan kebudayaan.

Pada masa sama, PASBK bakal memiliki dewan komuniti dalam tempoh dua tahun.

Menurutnya, dewan itu membolehkan masyarakat di sekitar Satok khususnya Kampung Bandarsah menjalankan aktiviti kemasyarakatan, keilmuan, kebudayaan dan keagamaan.

Pelaksanaan projek itu bagaimanapun belum bermula dan lokasinya sudah dikenal pasti iaitu di sebuah tanah lapang di Kampung Bandarsah.

Dewan yang dianggarkan menelan belanja RM2.5 juta itu meru- pakan satu-satunya dewan tertutup di Jalan Datuk Ajibah Abol.

Ini membolehkan pengguna menjalankan aktiviti dengan lebih tenteram dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Justeru Abang Johari berkata, pembinaan dewan ini juga melambangkan perpaduan yang mantap dalam kalangan masyarakat Kampung Bandarsah dan sekitarnya yang saling bekerjasama termasuk mengutamakan semangat kekeluargaan.

Turut hadir Pengerusi PASBK Abdul Rahman Zainuddin.