BELADIN: Pemerkasaan pasukan bertindak kecemasan komuniti (CERT) di sesuatu kawasan yang jauh dari agensi bantuan merupakan langkah strategik bagi menghadapi sebarang kecemasan yang berlaku.

Timbalan Residen Bahagian Betong Abang Mohamed Abang Turkey memberitahu, penduduk khususnya JKKK yang dilatih menerusi program tersebut berupaya menjadi pasukan bertindak pertama membantu menstabilkan bencana atau kecemasan.

“Sebab itu, pasukan ini diberi latihan untuk menguasai kemahiran dan teknik yang membolehkan mereka memberi bantuan awal.

“Justeru, sememangnya diakui penubuhan CERT dalam kalangan penduduk di sesuatu kawasan memberi manfaat besar kepada warga kampung lebih-lebih lagi yang jauh dari agensi bantuan profesional seperti polis, bomba, pertahanan awam dan sebagainya,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika mewakili Residen Bahagian Betong Friday Belik merasmikan Program Latihan dan Pelancaran CERT Kawasan Daerah Pusa yang berlangsung di Dewan Masyarakat dekat sini, semalam.

UNTUK ALBUM … Abang Mohamed serta tetamu lain bergambar kenangan bersama sebahagian besar peserta Program Latihan dan Pelancaran CERT Kawasan Daerah Pusa yang berlangsung di Dewan Masyarakat dekat sini, semalam. Foto. OSMAN RAZALI

Jelasnya, Daerah Pusa sememangnya wajar ditubuhkan CERT yang sekaligus menggalakan semangat berdikari dalam kalangan penduduk.

“Oleh yang demikian, saya merayu mereka yang diberikan tanggungjawab untuk menjadi sebahagian daripada CERT, dapat memikul amanah ini dengan sebaik-baiknya untuk membantu diri sendiri dan orang lain.

“Walaupun ia merupakan kerja sukarela tanpa sebarang upah, tetapi ganjarannya cukup besar apabila kita dapat membantu orang lain yang memerlukan. Insha-Allah, biarlah ia menjadi saham akhirat kerana kita sudah memudahkan urusan orang lain,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan) Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Dato Clarence Rorote Sagan mahu CERT menjadi perantara atau orang tengah antara Bilik Operasi Negeri dengan penduduk kampung.

Beliau menyeru ahli JKKK agar terlibat secara langsung untuk membimbing penduduk di kawasan masing-masing supaya masyarakat sentiasa bersiap siaga dapat diwujudkan.

“Kita berhasrat membudayakan amalan kesiapsiagaan dalam komuniti dan ia memerlukan masyarakat berganding bahu,” jelasnya.

Penganjuran siri kali ini merupakan yang ke-43 sejak CERT ditubuhkan pada Disember 2010 dan ia disertai kira-kira hampir 400 peserta dari sekitar Daerah Pusa.

Hadir sama Pegawai Daerah Pusa Bujang Budin, wakil pengurus Besar Petronas Wilayah Sarawak Ekni Raduan dan Pemanca Daerah Pusa Awang Raziee Awang Mohd Zain.

AMBIL TANGGUNGJAWAB … Abang Mohamed menyampaikan sijil dan jaket keselamatan serta alat pemadam api kepada Ketua Kampung Tengah Pusa Ja’afar Yussup pada program tersebut.

 

ANAK MUDA … CERT Kampung Pusa turut bergambar kenangan bersama pada program tersebut.

 

TETAMU … Antara tetamu yang memeriahkan Program Latihan dan Pelancaran CERT Kawasan Daerah Pusa. Dari kiri Ekni, Clarence, Abang Mohamed, Bujang dan Awang Raziee.