PUSA: Semangat Kerajaan Saribas yang cukup terkenal, tersohor dan gemilang suatu ketika dahulu dijadikan inspirasi dalam setiap agenda pembangunan supaya Daerah Pusa terus maju serta berkembang pesat.

Justeru, rakyatnya perlu bersedia menghadapi kepesatan yang bakal berlaku pada masa akan datang, kata Pegawai Daerah Pusa Bujang Budin.

Menurutnya dalam setiap acara, wakil rakyat sering bercakap tentang projek dan itu sebenarnya mengajak rakyat untuk bersama-sama bersedia.

“Banyak kali pemimpin kita (YB) bercakap soal projek, rancang itu, buat ini… macam-macam yang hendak dilaksanakan.

“Sebab mereka tahu kawasan ini akan membangun dan maju. Jadi, semuanya sebagai persediaan untuk masa itu nanti.

PENGHARGAAN … Bujang menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Kampung Kalok Sadallah @ Saimi Saiee pada Majlis Sambutan Gawai Raya Peringkat Pejabat Daerah Pusa di sini, baru-baru ini. Foto. OSMAN RAZALI

“Tetapi apabila kita tanya diri sendiri, kita tidak melakukan persiapan terutamanya dari sudut susun atur masyarakat.

“Bayangkan Daerah ini nanti menjadi pertembungan lebuh raya Pan Borneo, lebuh raya pesisir dan lebuh raya ekpress yang dijangka siap beberapa tahun mendatang. Kalau kita tidak bersedia, maka kita akan ketinggalan,” katanya.

Beliau bercakap demikian pada Majlis Sambutan Gawai Raya Peringkat Pejabat Daerah Pusa di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, sebab itu wakil rakyat masing-masing sibuk membuat persiapan dengan merancang dan melaksanakan pelbagai projek.

“Sektor pertanian dibangunkan, infrastruktur ditambah baik melalui RTP, pembangunan ekonomi diperkasa, pendidikan diberi tumpuan lebih… macam-macam dilakukan sebagai persiapan untuk menghadapi lima ke enam tahun akan datang.

BERGAWAI RAYA … Tetamu mengambil bermacam juadah yang disediakan untuk dinikmati bersama.

“Insha-Allah pada masa itu nanti, kita semua akan mendapat hasilnya.

“Gemar saya ungkapkan, semangat Kerajaan Saribas harus dikembalikan. Sejarah mencatatkan sekitar abad ke-17, tanah ini merupakan sebuah ibu kota kepada Kerajaan Saribas yang dikenali sebagai Tandang Sari,” ujarnya.

Beliau menyeru ketua-ketua masyarakat dan kaum untuk berganding bahu melakukan sesuatu yang boleh menyokong setiap usaha kerajaan membangunkan Daerah Pusa.

“Dalam kita beraya, bergawai, maka gunakan juga untuk kita berkongsi pengalaman, buah fikiran bagaimana membangunkan kampung masing-masing. Ini amat penting untuk masa depan anak cucu kita di kemudian hari.

“Misalnya, saya sentuh soal pertambahan penduduk. Mungkin boleh difikirkan bagaimana untuk mengatasi isu kepadatan.

“Semakin kita berkembang, dari segi pembangunan kampung harus difikir,” jelasnya.

Adun Beting Maro Razaili Gapor pada majlis tersebut meluluskan sumbangan RM5,000 kepada Pejabat Daerah Pusa.

Hadir sama Timbalan PBB Cawangan Awang Sarbini Gapor mewakili Razaili, Penolong Pegawai Daerah Pusa Bujang Ladi, Pemanca Daerah Pusa Awang Raziee Awang Mohd Zain, ketua-ketua jabatan, masyarakat dan kaum.

BERGAWAI RAYA … Tetamu mengambil bermacam juadah yang disediakan untuk dinikmati bersama.

 

SILATURAHIM … Ragam tetamu yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar.