MIRI: Sarawak Plantation Berhad (SPB) kini semakin giat mencipta mesin terbaharu untuk industri minyak sawit, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, setakat ini beberapa prototaip mesin tersebut dalam tempoh percubaan di Ladang Tiga, Bekenu.

“Walaupun tenaga manusia masih diperlukan, namun kerja-kerja di ladang dapat dilaksanakan lebih pantas dengan ciptaan dan inovasi teknologi terkini,” katanya ketika lawatan ke ladang kelapa sawit di Bekenu untuk melihat sendiri prototaip SPB di sini, semalam.

Menurutnya, mesin ‘H Harvester Cutter’ sangat menarik yang memudahkan industri kelapa sawit bukan sahaja di Sarawak tetapi juga memberi manfaat dalam industri ini di seluruh negara.

“Salah satu masalah terbesar dan paling lama dalam industri ini adalah mendapatkan pekerja yang mencukupi untuk melakukan terutama penuaian.

“Sebelum ini, mesin pemotong `Cantas’ sudah dibangunkan, tetapi mesin ini ternyata ciptaan yang lebih maju,” katanya.

Oleh itu, ujarnya, kerajaan bersetuju bekerjasama dengan SPB memperhalusi prototaip mesin penuai itu untuk membangunkannya bagi tujuan pasaran komersial.

Sementara itu, Pengerusi SPB Datuk Amar Hamed Sepawi berkata, mesin itu mampu menuai lima tan buah kelapa sawit setiap hari dengan hanya seorang pekerja mengendalikannya .

“Jika kerja dilakukan secara manual, seorang pekerja hanya mampu menuai kira-kira 1.5 tan sehari.

“Jurutera kami mengambil masa tiga tahun untuk membangunkan prototaip ini dan kini berusaha menjadikannya lebih mantap dengan menambah peralatan robotik kepada komponen mekanikal dan hidraulik,” ujarnya.