KUCHING: Seluruh industri makanan dan minuman (F&B) di Sarawak gembira dengan pemberian lesen import gula (AP), kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen.

Menurutnya, ia kerana dasar liberalisasi itu telah mengurangkan kos pengeluarannya dengan ketara dan menjimatkan kira-kira RM1,000 setiap tan.

“Satu pengeluar F&B telah memohon awal tahun lepas dan mendapat AP penghujung tahun lepas. Kemudian lapan lagi pengilang F&B memohon dan mendapat AP masing-masing pada Jun tahun ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Chong membidas tuduhan oleh pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bahawa pengeluaran AP berkenaan adalah satu bentuk kronisme selain memberi manfaat kepada dirinya.

Sebaliknya, beliau menegaskan pemberian AP kepada lapan pengeluar F&B di Sarawak adalah dasar liberalisasi Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menentang dasar monopoli Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Katanya mana-mana pengeluar F&B di Sarawak boleh memohon AP berkenaan jika benar-benar memerlukan gula dalam pengeluaran mereka.

Bagaimanapun, katanya gula yang diimport mesti hanya untuk kegunaan sendiri bagi pengeluaran dan tidak boleh dijual semula.

“Ia terbuka kepada mana-mana pengilang F&B untuk memohon kepada kementerian.

“Tiada sekatan atau tarikh tutup bagi permohonan itu dan gula yang diimport mestilah untuk penggunaan sendiri pemohon,” katanya.

Chong menambah AP berkenaan juga adalah dikeluarkan secara terus kepada pengeluar tanpa sebarang transaksi orang tengah atau ‘alibaba’.

Malah katanya pemohon yang berjaya juga tidak perlu membayar saya apa-apa.

Ekoran kejayaan dasar bekalan gula itu di Sarawak, Chong berkata kementeriannya merancang untuk melaksanakannya di Sabah.