KUCHING: Hanya dengan menjual kraftangan, Mohd Amin Abdullah, 63, berjaya memberi pendidikan ke peringkat universiti kepada enam daripada sembilan anaknya.

Amin yang berasal dari Balai Ringin, Serian menghasilkan dan menjual barangan kraf sejak tahun 1997.

“Saya sendiri yang menganyam bakul-bakul dan tikar ini sambil dibantu oleh isteri.

“Dari segi jualan pula sama ada langsung atau melalui media sosial, saya dibantu oleh anak-anak saya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak apabila menyertai Ekspo Perkayuan anjuran Perbadanan Kemajuan Industri Perkayuan Sarawak (Pusaka) yang bermula semalam hingga 30 Jun di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Kata Amin, bidai (sejenis tikar yang diperbuat daripada rotan keras) turut dianyam sendiri olehnya apabila dijual pada harga RM300 bagi bersaiz besar.

“Bahan mentah ini saya dapatkan daripada orang kampung di sekitar kawasan Balai Ringin,” jelasnya.

Oleh itu menurut, pendapatannya dalam tempoh sebulan mencecah RM10,000.

CANTIK.. Mohd Amin Abdullah menunjukkan bakul yang dianyamnya pada Ekspo Perkayuan Pusaka Edisi Keempat di BCCK, semalam.

“Bagi anyaman bakul pula, saya membeli bahan mentah daripada Punchong, Selangor kerana di Sarawak, tiada bahan tersebut.

“Maka, anyaman bakul saya sendiri yang buat dan dijual pada harga RM48 hingga RM60 seunit,” katanya.

Mengenai Ekspo Perkayuan pula, Amin memberitahu, kali ini adalah ketiga beliau menyertai ekspo terbabit.

“Daripada ekspo sebelum ini, saya meraih pendapatan RM10,000 menerusi jualan langsung.

“Justeru, saya melihat ekspo sebegini adalah wadah untuk pengusaha mempromosikan produk masing-masing,” katanya.

Beliau turut melihat industri kraftangan semakin mendapat tempat di hati para pengguna yang sesuai untuk semua jenis tema hiasan rumah.

Sementara itu, seorang lagi peserta ekspo, Hery dari Pontianak, Kalimantan Barat menjual gelang rotan dan baju tradisional Iban.

“Ini kali pertama saya menyertai ekspo perkayuan di Sarawak dan ternyata amat bagus sekali.

“Ini kerana saya dapat mempromosikan produk dari Pontianak ke Kuching untuk dijual secara langsung,” ujarnya.

Beliau yang berharap produknya habis terjual menerusi ekspo ini menggunakan jalan darat ke Kuching.

GELANG ROTAN … Hery menunjukkan gelang rotan yang dibawanya bersama baju tradisional Iban pada Ekspo Perkayuan Pusaka Edisi Keempat di BCCK, semalam.