SRI AMAN: Berikan mereka ilmu, bimbingan agama yang wajar untuk menjadi seorang Islam sejati, kata Pengerusi Harakah Islamiah (Hikmah) Cawangan Sri Aman Datuk Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman.

Itu antara fokus utama Hikmah Cawangan Sri Aman pada tahun ini bagi membantu saudara baharu (mualaf) yang sememangnya memerlukan bimbingan khusus untuk mendalami Islam.

Wan Abdillah ketika ditemui Suara Sarawak selepas Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri bertemakan ‘Raya oh Raya’ di Tadika Tahfiz Hikmah, semalam memberitahu, pihaknya mempunyai banyak perancangan.

“Cuma pada masa ini kita ingin fokus kawasan saudara baharu dengan memberikan kelompok tersebut lebih perhatian.

“Sebab, mereka ramai terutamanya di Engkilili, Lubok Antu, Lingga serta beberapa kawasan lain dan jumlah mereka agak boleh tahan. Ada yang masih tinggal di komuniti asal di rumah panjang masing-masing.

“Jadi, mereka ini kita ingin bantu,” katanya.

Jelasnya, pemberian sumbangan kepada mualaf pada musim perayaan bukannya tidak membantu, tetapi sebagai saudara baharu mereka memerlukan ilmu.

“Sebab itu kita takut pertukaran agama mereka disalah guna dan akan menimbulkan isu-isu lain. Selepas mereka memeluk Islam, kita ingin memastikan mereka menjadi orang Islam sejati.

“Oleh yang demikian, Hikmah Cawangan Sri Aman sedia meng- ambil tanggungjawab ini untuk membuat pendekatan lebih efektif terhadap golongan tersebut.

“Perancangan kita untuk memberikan mereka bimbingan dengan lebih giat dan memastikan mereka mendalami ilmu Islam,” tambahnya.

Beliau kini melakukan survei untuk mengenal pasti jumlah sebenar kelompok mualaf di Bahagian Sri Aman.

Menambah lanjut, peruntukan untuk pelaksanaan program dirancang sudah dimohon dan pihaknya akan mula bergerak secepat mungkin yang akan melibatkan kerjasama beberapa pihak lain.

Dalam perkembangan berasingan, Wan Abdillah menyatakan fokusnya terhadap Kelab Remaja Hikmah yang kini bergabung dengan Perguruan Seni Silat Helang Putih Cawangan Sri Aman untuk menarik lebih ramai belia muda terlibat.

Menurutnya kelab tersebut sangat aktif.

Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri tersebut dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) merangkap Timbalan Yang Dipertua Hikmah Datu Misnu Taha.

Turut hadir Penolong Pengurus Pendidikan Hikmah Melati Ahamad, Guru Besar Tadika Tahfiz Hikmah Sri Aman Kasmarini Bokhari dan Yang Dipertua PIBG Mohd. Zaimierul Eni.