MIRI: Kerajaan menyediakan latihan kemahiran teknikal dan vokasional kepada belia Bumiputera untuk memenuhi keperluan industri dan keusahawanan negara.

Ahli Dewan Negara Senator Alan Ling berkata, kerajaan akan memastikan pembangunan belia Bumiputera di luar bandar dan masyarakat B40 sentiasa diperluaskan.

“Kerajaan akan fokus pembangunan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk menyediakan latihan teknikal dan vokasional kepada belia Bumiputera,” katanya pada Majlis Ramah-Tamah Gawai Raya GiatMara Miri semasa lawatan kerjanya, di sini, semalam.

Beliau berkata, peruntukan untuk Mara pada 2019 adalah RM3.7 billion dengan pecahan RM1.3 bilion di bawah perbelanjaan pengurusan manakala RM2.4 bilion di bawah perbelanjaan pembangunan.

Katanya, ini kerana wujud penstrukturan semula belanjawan Mara dengan RM2.4 bilion diperuntukkan untuk program penganjuran pelajaran Mara.

“Program biasiswa dan pinjaman pendidikan Mara dipindah klasifikasi daripada perbelanjaan mengurus kepada perbelanjaan pembangunan.

“Manakala pada 2018, penyaluran peruntukan bagi program pelajaran pula diletakkan di bawah perbelanjaan pengurusan,” jelas Alan.

Oleh itu, tegasnya, dakwaan pemotongan 50 peratus peruntukan Mara dalam Belanjawan 2019 tidak benar.

Pada majlis tersebut, beliau mengucapkan tahniah kepada Hanafi Osman, 21, pelatih GiatMara Saratok yang memenagi pingat perak kategori teknologi fesyen pada Global Skill Championship 2019 di Melbourne, Australia, April lalu.

“Walaupun bersaing dengan 16 negara, kejayaan ini membuktikan pelatih GiatMara diiktiraf dunia dengan Kontinjen Malaysia meraih tiga pingat pada keseluruhanya.

“Latihan kemahiran teknikal dan vakasional (TVET) yang disediakan GiatMara berupaya melahirkan 85 peratus graduan di pasaran kerjaya, manakala selebihnya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” tambahnya.

Turut hadir Pengarah GiatMara Sarawak Abd Halem Serojai dan Pengurus Kanan GiatMara Miri Rakawi Nawi.