Dalam beberapa hari ini , nama Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan ramalan panasnya tentang Sarawak akan menjadi seperti Kelantan terus menjadi buah mulut rakyat di negeri ini.

Sebagai rakyat Sarawak, dakwaan menteri kanan itu disifatkan sebagai keterlaluan.

Ini sekali gus memperkecil keupayaan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan GPS dalam mentadbir urus Bumi Kenyalang khususnya perkara melibatkan ekonomi.

Guan Eng memberitahu, Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun ekoran hanya memiliki simpanan berjumlah RM30 bilion, sedangkan perbelanjaan untuk pembangunan mencecah sehingga RM11 bilion pada tahun ini.

Katanya, rizab tersebut akan habis sekiranya Sarawak masih berbelanja seperti tahun ini untuk tahun-tahun mendatang.

Maka, beliau beranggapan Sarawak akan berhadapan dengan krisis kewangan seperti Kelantan yang terpaksa meminjam daripada Kerajaan Pusat.

Dakwaan itu dilihat sengaja dengan niat provokasi politik apabila beliau menyeru rakyat Sarawak untuk bersama-sama menyingkirkan GPS pada PRN12 akan datang.

Sebaliknya, mengajak rakyat memenangkan Pakatan Harapan (PH) dengan niat menggantikan pentadbiran di peringkat negeri.

Pernahkah kita terfikir sekiranya Sarawak jatuh ke tangan mereka? Janganlah dipertaruhkan hak Sarawak dan rakyat sebagai penentu (pemilih) dinasihat untuk sentiasa mengutamakan Sarawak.

Ada yang mengatakan dakwaan itu tidak berasas sama sekali seolah-olah begitu terdesak untuk menipu rakyat Sarawak.

Tidak kurang juga yang beranggapan Guan Eng sebagai menteri kanan yang tidak matang dengan berpolitik menggunakan akal pendek.

Ada yang menambah, Guan Eng bukan hendak mempromosikan ekonomi Sarawak sebaliknya mencemarkan imej salah sebuah negeri dalam Malaysia disebabkan ketidakselarian haluan politik.

Ia sekali gus menunjukkan PH tidak berminat memajukan Sarawak.

Sudah pasti ramai yang kesal dengan sikap pemimpin PH yang menggunakan idea kotor dengan memburuk-burukan GPS untuk menambat hati rakyat.

Mengapa Isu Bankrap?

Kita fikirkan sejenak, mengapa isu bankrap, tadbir urus GPS terhadap Sarawak sengaja dimainkan menjelang pilihan raya?

Sebab itu ada pihak menyatakan, itu taktik lama PH pada PRU14 lalu sehingga memperoleh kemenangan.

Namun kesannya bagaimana kepada negara dan rakyat?

Adakah keadaan Malaysia baharu hari ini kononnya lebih bagus?

Kalau jawapannya ‘ya’, pemimpin PH tidak seharusnya mengatakan Sarawak seperti sedemikian rupa.

Kerajaan baharu sepatutnya memberi tumpuan sama rata terhadap negeri-negeri di bawah PH

dengan negeri lain yang dianggap pembangkang di peringkat Persekutuan.

Tuntasnya selepas lebih setahun pentadbiran PH, rakyat Sarawak seharusnya menilai sebijak-bijaknya lebih-lebih lagi dalam senario Bumi Kenyalang yang kian ke hadapan untuk mencapai cita-cita negeri maju menjelang 2030.

Di sinilah rakyat perlu mengakui kebenaran slogan Utamakan Sarawak yang dijulang oleh parti keramat GPS.

Adakah orang luar mempunyai semangat seperti kita sendiri (anak Sarawak) untuk membangunkan Sarawak? Siapakah yang benar-benar tahu kehendak dan keperluan Sarawak?

Membela nasib Sarawak

Siapakah yang akan membela nasib Sarawak? Rasanya, jawapan sudah cukup jelas dengan tindakan Guan Eng seperti kenyataannya.

Bagaimanapun, hati kadang-kadang luluh kerana ada segelintir rakyat kita yang masih mengagung-agungkan parti luar seperti PH.

Ayuh bersamalah kita belajar daripada sejarah dahulu untuk menolak parti yang bukan hendak menjaga Sarawak atau mengutamakan Sarawak.

Kita di negeri ini tidak perlu mencuba untuk ditadbir oleh kerajaan PH.

Sesungguhnya, Sarawak yang dikemudi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mempunyai kerajaan yang bertanggungjawab dan sangat berhemah dalam menguruskan perbelanjaan.

Berbelanja lebih RM11 bilion

setahun bukan mencerminkan Sarawak sebagai negeri yang boros tetapi sebaliknya memiliki perancangan yang strategik dan teliti.

Menurut Abang Johari, kejayaan Sarawak memiliki simpanan yang sangat besar sehingga RM30 bilion ekoran kecekapan tadbir urus yang merupakan hasil perusahaan parti orang Sarawak iaitu GPS.

Kalau dilihat ekonomi Sarawak dari sudut agensi antarabangsa dalam tempoh 10 tahun ini, mereka menjelaskan tentang Sarawak mengamalkan pengurusan ekonomi yang baik dan Kerajaan Sarawak dilaporkan tidak menghadapi masalah kewangan.

Lebih-lebih lagi Sarawak juga sudah menjana pendapatan tambahan baharu melalui pelaksanaan cukai jualan 5 peratus terhadap produk minyak dan gas bermula awal tahun ini serta perolehan lain yang dipulangkan semula kepada rakyat melalui pelaksanaan projek pembangunan dan inisiatif yang diperkenalkan.

Kecilkan Jurang Sosioekonomi

Sebab itu RAM Rating Services Berhad mengiktiraf pendekatan Kerajaan GPS dengan menyifatkan Bajet 2019 Sarawak sebagai menangani keperluan pembangunan utama negeri yang menyokong usaha mengecilkan jurang sosioekonomi antara Sarawak dan negeri di bahagian barat Semenanjung Malaysia.

Abang Johari pemimpin yang bijak dan berpandangan jauh selain mementingkan aspirasi rakyat khususnya di luar bandar.

Demi kesejahteraan rakyat luar bandar, Sarawak sanggup mengambil alih projek yang dibatalkan oleh Kerajaan Pusat selepas PRU14.

Lebih jelas melalui pembinaan laluan perhubungan ke hampir seluruh kawasan di luar bandar Sarawak.

Kerajaan Sarawak mengambil alih pembinaan Jambatan Batang Lupar, sedangkan mengikut persetujuan awal ia dibina secara perkongsian.

Jambatan Batang Saribas, Krian malah banyak lagi dibina untuk kemudahan rakyat.

Kalau mereka (PH) benar-benar mahu membangunkan Sarawak, segala projek pembangunan untuk Sarawak tidak harus dibatalkan.

Soal siapa pangkah siapa selepas PRU, harus diletakkan ke tepi dahulu dan yang penting menunaikan setiap hasrat yang diaspirasikan rakyat.

Kata-kata Guan Eng itu menjadi ingatan rakyat Sarawak sampai bila-bila.

Rakyat tidak harus takut, GPS yang didokong oleh empat komponen parti iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) sedaya upaya memelihara Sarawak agar tidak terlepas ke tangan orang lain agar hak dan keistimewaan dapat dipertahankan.

Selain menuntut kembali beberapa bidang kuasa yang terhakis daripada Persekutuan dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963).

Justeru, seluruh rakyat di negeri ini perlu bersatu padu dengan mengecilkan perbezaan dan menguatkan parti GPS demi anak cucu kita pada masa hadapan.