KUCHING: Seramai 39 peserta dari Kemboja, Thailand, Maldives, Myanmar, Singapura, Indonesia dan Malaysia menyertai seminar Ketua Pemuda Muslimah 2019 (Y-Muslim) anjuran bersama Pusat Maklumat Islam (IIC) Sarawak dan Majlis Dakwah Islam Serantau di Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP).

Seminar ini memberi inspirasi kepada pembangunan pemimpin-pemimpin pemuda Islam yang diadakan di IIC semalam.

Sesi perkongsian pada hari pertama seminar dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif IIC Sarawak Zabariah Matali dan Pengenalan RISEAP dibentangkan oleh Ketua Setiausaha Mohd Marzuki Umar.

Naib Presiden RISEAP Datuk Hanifah Hajar Taib-Alsree berkata, Sarawak adalah model perpaduan dan hubungan harmoni dalam masyarakat.

“Kita tidak boleh membandingkan budaya mana lebih tinggi dari yang lain kerana dengan adanya perpaduan, kita dapat bersama maju ke hadapan.

“Bercakap mengenai budaya seperti makanan, kaum Melayu tidak boleh mendakwa bahawa mi adalah budaya mereka kerana kaum Cina yang membawa masakan di sini, malah kari pula merupakan budaya kaum India.

“Dengan adanya perpaduan, kita mempunyai pelbagai jenis masakan kerana pada dasarnya, kita tidak boleh maju dalam dunia ini jika ada yang menganggap hanya budaya mereka yang unggul,” katanya.

Ahli Parlimen Mukah itu juga menyatakan pengalamannya sebagai ahli perniagaan dan ahli politik.

“Sebagai ahli politik, saya bertanya kepada orang lain tentang cara untuk menjadi pemimpin yang baik.

“Sebagai umat Islam, saya mendapati bahawa tiada pemimpin lain yang layak menjadi contoh selain Nabi Muhammad SAW.

“Nabi itu dikenali sebagai Al-Amin dan untuk menjadi pemimpin yang baik, ini adalah kualiti yang kita mesti ada,” ujarnya.

Peserta seminar itu akan melawat tiga tempat ibadat iaitu St. Thomas Cathedral, Gudwara Sahib dan Masjid Daerah Kuching atau dikenali sebagai Masjid Terapung dalam lawatan mereka.

Selain itu, peserta juga akan didedahkan kepelbagaian budaya Sarawak dengan melawat Kampung Budaya Sarawak dan makan malam perpisahan di Sarawak River Cruise semasa lawatan mereka.

Seminar ini memberi tumpuan kepada perkongsian isu negara oleh peserta, perbincangan mengenai pengalaman, pemikiran dan pandangan mereka berkaitan belia di rantau ini.

Seminar tiga hari itu adalah platform yang baik bukan sahaja untuk membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan umat Islam tetapi akan mempamerkan Sarawak sebagai model dari segi perpaduan dan hubungan harmoni dalam kalangan rakyat .

Untuk maklumat lanjut hubungi Madihah atau Nur Atikah Bujang di talian 082 420 798/420 799 atau menyertai IIC Sarawak di Facebook untuk mendapatkan maklumat dan berita terkini.