Buat sekian lamanya, suara dan rintihan para Sasterawan Negara akhirnya mendapat

perhatian daripada pihak kerajaan. Pada awal minggu ini, Kementerian Kewangan bersetuju memberi elaun penghargaan bulanan RM5,000 kepada tujuh Sasterawan Negara.

Antara Sasterawan Negara yang bakal menikmati pembiayaan ini ialah Datuk Seri Dr A Samad Said; Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh; Datuk Noordin Hassan; Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan; Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah; Datuk Dr Baharuddin Zainal dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

Menurut Lim Guang Eng, pemberian elaun penghargaan secara bulanan ini merupakan penghargaan dan pengiktirafan pihak kerajaan kepada Sasterawan Negara yang banyak menyumbang dalam pengembangan bahasa kebangsaan.

Dari sisi sejarah, Anugerah Sastera Negara (ASN) mula diperkenalkan pada 1981 hasil cetusan idea bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn yang menginginkan sebuah hadiah sastera berprestij bagi memartabatkan sastera di Malaysia.

Tokoh sasterawan yang berpotensi untuk dicalonkan sebagai penerima ASN, perlu aktif dan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

Anugerah Berprestij

Anugerah yang penuh berprestij ini, disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan membawa gelaran Sasterawan Negara kepada penerimanya.

Sejak diperkenalkan 38 tahun yang lalu, ASN dianugerahkan kepada 13 orang penerima. Antara penerima selain tujuh di atas ialah Keris Mas (1981), Dato’ Dr Shahnon Ahmad (1982), Datuk Usman Awang (1983), Arena Wati (1987), Datuk Abdullah Hassan (1996), S. Othman Kelantan (2003).

Penerima ASN mendapat warkah penghormatan negara, wang tunai sebanyak RM60,000.

Penerbitan sebanyak 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan bagi tujuan sebaran ke sekolah, pustaka dan agensi kerajaan.

Di samping itu, ASN juga layak menerima kemudahan perubatan kelas satu di hospital kerajaan, kemudahan dan keselesaan dalam kegiatan mencipta karya sastera, kemudahan dalam menerbitkan karya dan penterjemahan karya ke dalam bahasa asing.

Hadiah Lumayan

Walaupun hadiah dan kemudahan yang diterima oleh Sasterawan Negara agak lumayan, namun realitinya tidak seperti yang dijangkakan. Isu pasca penganugerahan sering kali menjadi belati yang menghiris jiwa penerima ASN.

Antaranya isu berkaitan dengan penerbitan dan pencetakan karya penerima ASN yang dilihat gagal dilaksanakan oleh pihak kerajaan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Jika tidak, masakan A. Samad Said mengisytiharkan mogok seni serta kurang mesra dengan DBP sejak awal 1990-an.

Di samping itu, penyebaran karya-karya penerima ASN ke sekolah, perpustakaan dan agensi kerajaan seperti yang dijanjikan juga dilihat gagal.

Perkara ini menyebabkan masyaakat turut terkesan sama dalam memahami fungsi dan peranan Sasterawan Negara dalam konteks pembinaan negara bangsa.

Sehubungan itu, tindakan kerajaan membayar elaun penghargaan bulanan kepada Sasterawan Negara merupakan tindakan yang wajar.

Hal ini kerana, sebagai susuk penting persuratan kebangsaan di Malaysia, Sasterawan Negara tidak seharusnya dibiarkan mengemis dan menagih simpati untuk meneruskan kehidupan.

Selain itu, jumlah elaun yang bakal dinikmati oleh Sasterawan Negara dikatakan agak besar dan tidak munasabah bagi sesetengah pihak merupakan pandangan yang dangkal.

Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka pasti mempunyai garis panduan serta corak kerja yang terancang bagi mewajarkan bayaran tersebut.

Sebelum ini pun Dr Maszlee Malik mengumumkan beberapa program yang melibatkan Sasterawan Negara seperti Sasterawan Negara di Universiti Awam serta beberapa program lain.

Penguasaan Ilmu Pengalaman

Sebagai pemikir bangsa yang mempunyai cakupan penguasaan ilmu dan pengalaman meluas, keberadaan Sasterawan Negara pasti dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga menara gading.

Di samping itu, ketika dunia persuratan dan kesusasteraan nasional dikatakan semakin lemah dan lesu, insentif yang bakal diterima oleh Sasterawan Negara ini pasti menaikkan semula nilai ekonomi sastera satu peringkat yang dapat dibanggakan.

Hal ini dikatakan sedemikian kerana sebelum ini sastera sering kali dikatakan tiada nilai ekonomi, sehingga menyebabkan minat masyarakat terhadap sastera semakin menurun.

Di sisi lain, insentif ini pasti dapat memugar semula khazanah persuratan di rantau ini dan seterusnya membina negara bangsa yang kaya nilai di dalam jiwanya.

• Dilah Tuah ialah Timbalan Dekan dan Pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak.