DARO: Murid prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Campuran Daro dan kanak-kanak Tabika Kemas, Kampung Tian Matu mengukir senyuman setelah mendapat keperluan pembelajaran serba baharu.

Malah dengan kelengkapan baharu itu, mereka dapat menikmati pembelajaran dalam suasana lebih kondusif berbanding sebelum ini apabila Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi menyampaikan beberapa keperluan untuk tabika dan prasekolah tersebut.

Antara keperluan itu termasuk kerusi, meja dan peralatan lain yang disampaikan oleh Pegawai Khas Parlimen Igan Basmi Mat mewakili Ahli Parlimen Igan.

Jika sebelum ini, kanak-kanak tabika dan murid prasekolah tersebut hanya duduk di atas lantai ketika mengikuti sesi pembelajaran namun, masalah itu sudah berakhir dengan adanya keperluan serba baharu itu.

Justeru, menurut Ahmad Johnie, pendidikan adalah antara agenda utama beliau dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Oleh itu, katanya, beliau berusaha menunaikan permohonan dan permintaan warga pendidik di kawasan parlimen itu demi menaik taraf sekolah dan menye- diakan keperluan berkaitan.

“Saya akan terus membantu sekolah-sekolah dari segi dana dan menaik taraf kemudahan terutama sekolah yang serba kekurangan,” katanya.