KUCHING: Kerajaan Sarawak mewajibkan semua lesen kayu hutan jangka panjang mendapatkan Pensijilan Pengurusan Hutan menjelang 2022.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pensijilan itu bagi memastikan konsesi balak diurus secara lestari.

“Pensijilan ini akan memberikan keterangan konkrit dan bukti sah mengenai pengurusan hutan secara mampan.

“Inisiatif ini bukan sahaja meluaskan akses pasaran produk kayu kita tetapi meningkatkan imej Sarawak ke pentas global berhubung pengurusan hutan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Industri Kecil dan Sederhana serta Perkayuan yang dianjurkan serentak Persidangan Reka Cipta Sarawak buat kali pertama di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Kedua-dua ekspo terbabit dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) bermula semalam hingga 30 Jun ini.Menurut Abang Johari, IKS merupakan tulang belakang pertumbuhan ekonomi Sarawak sedekad lalu.

“Justeru, IKS perlu dikembangkan kepada ekonomi digital yang dilihat sebagai langkah untuk menjamin pertumbuhan dan mengekalkan kelebihan ketika bersaing di pasaran luar Sarawak.

“Terdapat keperluan ke arah usaha berterusan termasuk pelan pemasaran yang lebih komprehensif untuk memastikan produk IKS dapat bersaing dan menembusi pasaran lebih luas,” jelasnya.

Tegasnya, dengan persekitaran perniagaan global yang semakin mencabar, pemain IKS harus kreatif dan inovatif, memanfaatkan teknologi ter- kini dari automotif ke robotik serta big data sebagai persedi- aan berdepan revolusi industri 4.0.

“IKS tidak boleh terus bergantung kepada strategi kos rendah dan intensif buruh untuk berkembang.

“Kerajaan pula akan terus mempromosi dan membangunkan IKS termasuk industri perabot dengan menambah nilai produk mereka menggunakan inovasi supaya boleh bersaing di pasaran global,” ujarnya.

Dalam majlis terbabit, Abang Johari turut menyampaikan bantuan kewangan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) kepada empat penerima.

Bantuan berkenaan ialah Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana kepada Sccaindarberth Poly, 51, Program Graduan Ke Arah Keusahawanan (Gerak) kepada Lucas Yap Yew Kiong, 49, Program Usahawan Teknikal dan Vokasional kepada Nazri Bohari, 38 dan Program Pemantauan Pendaftaran Perniagaan kepada Jualiana Pulut Ayat, 30.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda E-Dagang Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Perancangan Bandar dan Pentadbiran Tanah Datuk Len Talif Salleh serta Pengurus Besar Pusaka Hashim Bojet.