LIMBANG: Pesta Medamit platform terbaik masyarakat Limbang untuk mengenali keunikan budaya masyarakat Iban.

Ahli Parlimen Limbang, Hasbi Habibollah berkata, setiap bangsa dan kaum mempunyai keunikan yang tersendiri.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mengetengahkan budaya berbilang bangsa yang ada di Sarawak dengan melaksanakan pelbagai program kebudayaan.

“Ini tidak lain bertujuan untuk memastikan ikatan silaturahim antara kaum dapat disemai agar tidak berlakunya perpecahan dan perbalahan,” katanya ketika ditemui media.

Hasbi turut menyeru kepada masyarakat Limbang agar terus bersatu dibawah Kerajaan Negeri untuk bersama-sama membangunkan negeri Sarawak.

Katanya, sudah terbukti Kerajaan GPS merupakan sebuah kerajaan berbilang kaum yang sentiasa menjaga kepentingan semua kaum, bangsa serta agama.

Hari pertama program menyaksikan lebih kurang 500 orang pengunjung hadir memeriahkan sambutan tersebut.

Antara aktiviti berlangsung sepanjang hari tersebut ialah pertandingan tarik kalat, pertandingan mengayam tikar, pertandingan menyumpit, pameran pertanian dan banyak lagi.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan lagi kehangatan pesta yang akan berlangsung selama dua hari itu.

Hadir sama, Pemanca Kaum Bisaya, Jun Silah.