SRI AMAN: Akibat terlupa memadam api dapur jerangan air sebelum terburu-buru keluar rumah, bilik dapur sebuah rumah teres disewa enam sekeluarga hangus dalam insiden di Lorong Dua, Taman Pasir Panas, semalam.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Siti Huzaimah Ibrahim, mangsa yang juga merupakan penyewa rumah, Tay Jui Song keluar ke pasar pada waktu itu.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sri Aman menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang kebetulan berada di situ.

“Dia menghubungi APM setelah terdengar bunyi letupan kuat dan melihat api serta asap tebal di bahagian dapur sebuah rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Sri Aman, Nik Muhammad Afiq Nik Roslan berkata, insiden bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan kerana semasa kejadian rumah tersebut tidak berpenghuni.

“Api pada mulanya dikawal menggunakan dua unit alat pemadam api oleh jiran tetangga yang kebetulan berada di tempat kejadian.

“Sebaik bomba sampai, kita membuat ‘size-up’ dan mengaplikasikan konsep Receo dengan menggunakan satu aliran 200 kaki satu nozel dari sumber air pili bomba.

“Bomba turut mengalihkan silinder gas yang terbakar dan api dapat dipadamkan sepenuhnya sekitar jam 8.30 pagi,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Timbalan Pengarah JBPM Sarawak Tiong Ling Hii (gambar) memberitahu, kecuaian dan kelalaian manusia sering menjadi punca berlakunya kes kebakaran sehingga mengakibatkan kemusnahan.

 

“Hanya sedikit kesilapan akan mengundang padah.

“Bagi saya, perkara ini terlalu subjektif kerana kecuaian dan kelalaian manusia bukan sesuatu yang disengajakan.

“Namun apabila ia berlaku, cuma sedetik padah pasti menanti,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Jelasnya, kesedaran diri sendiri serta orang sekeliling amat penting.

“Begitu juga sifat saling mengingati tentang bahaya antara satu sama lain.

“Saya melihat, secara keseluruhan kes kebakaran yang berlaku disebabkan oleh kelalaian. Justeru, masyarakat dinasihatkan agar lebih berhati-hati selain peka dengan keadaan persekitaran,” ujarnya.