SIBU: Kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Bruit merangkul Johan Emas Pertama Keseluruhan Inovasi (COMPEX) Kebangsaan 2019 membuktikan kemampuan sebenar anak kampung.

Sambil menyifatkannya sebagai membanggakan Sarawak, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab berkata, kejayaan sekolah berkenaan menunjukkan bahawa kejayaan bukan sesuatu yang mustahil.

Lebih mengkagumkan katanya, SK Bruit mampu menewaskan cabaran sebanyak 130 penyertaan pasukan lain dari seluruh Malaysia melalui inovasi penciptaan Buku Sains IT (ITSB).

“Saya berharap kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada sekolah lain khususnya di pedalaman dan luar bandar Sarawak supaya terus meningkatkan usaha untuk meraih kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.

“Ini juga menunjukkan, kekurangan bukan penghalang kejayaan. Biarpun serba kekurangan mereka masih mampu memberikan saingan hebat. Sehubungan itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada SK Bruit,” katanya.

Terdahulu beliau meraikan kejayaan guru dan murid sekolah itu dalam satu upacara ringkas di Lapangan Terbang Sibu, pagi tadi.

Yusuf menyambut ketibaan rombongan SK Bruit di Lapangan Terbang Sibu.

Dalam pada itu, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) SK Bruit, Matusup Yaakub berkata, kejayaan besar itu hasil komitmen padu tenaga pengajar sekolah khususnya guru sains yang tampil dengan idea unik dan menarik.

Katanya, ilham mencipta buku berkenaan datangnya daripada guru sains sekolah yang tampil dengan kreativiti tersendiri untuk menjadikan proses menimba ilmu sebagai sesuatu menyeronokkan bagi setiap murid.

Menurutnya, berbeza dengan buku biasa,  ITSB tampil dengan aplikasi tersendiri dan memiliki pelbagai keistimewaan.

” Penghasilan ITSB lahir daripada keinginan kita untuk memastikan setiap murid di pedalaman agar tidak ketinggalan menggunakan kemudahan ICT.

“Terima kasih khas buat semua anggota pasukan, Guru Besar Sk Bruit, Mohardin Mohatar ,PPD Daro serta JPN Sarawak yang sentiasa memberikan dorongan serta sokongan kepada  kami.

“Tidak lupa juga sokongan dana dan moral daripada Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab dan Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol termasuk
TEGAS,PETRONAS dan lain- lain lagi, ” tambahnya.

Yusuf mengalungkan medal kepada murid SK Bruit yang membantu kejayaan sekolah itu.