KUCHING: Ekspo Perkayuan dan PKS Sarawak 2019 yang sedang berlangsung hingga esok menyasarkan transaksi niaga bernilai RM7 juta, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurutnya, sasaran ini berdasarkan sambutan yang diterima oleh ekspo ini yang semakin hangat, selain penganjurannya yang memasuki edisi keempat, melibatkan peserta pameran dari dalam dan luar Sarawak.

“Sebanyak 541 pempamer terlibat dalam ekspo kali ini manakala pemeteraian perjanjian dengan syarikat-syarikat perkayuan dan rakan dagang dijangka menjana nilai dagang sebanyak RM233 juta,” katanya ketika berucap dalam Majlis Malam Gala dan Pempamer di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, kelmarin.

Ekspo tersebut dianjurkan Kementerian PembangunanPerindustriandanUsahawan dan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka).

Tengah yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sarawak memberitahu, ekspo ini penting sebagai pusat sehenti kerana memberi tumpuan kepada peniaga dan pengguna mempromosi dan mendapatkan produk berasaskan kayu dan bukan kayu.

“Ia menyediakan platform kepada peniaga mempamer dan mempromosikan jualan produk mereka serta mewujudkan rangkaian untuk menarik pembeli dan pelabur tempatan termasuk pelabur asing yang berpotensi.

“Saya yakin urus niaga ini dapat membantu memasarkan perdagangan kayu Sarawak secara global dalam masa terdekat,” jelasnya yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan Pusaka.

Turut dilangsungkan penyampaian anugerah bagi dua kategori iaitu Persembahan Kertas Kerja Terbaik (Best Paper Presenter) kepada Nuvi Lailani Oktaferina dari Institut Teknologi Bandung (ITB) dan Poster Terbaik kepada Alexander Sigau dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).