MATU: Lebih 3,000 penduduk dijangka hadir memeriah majlis penangguhan Pesta Matu yang akan berlangsung di Padang Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD) pagi esok.

Program yang bermula pada jam 8.30 pagi ini dijangka bertambah seri dengan kehadiran Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Pegawai Daerah Matu, Wan Hipni Wan Mohamad berkata, penganjur menyediakan sebanyak 21 gerai pameran pelbagai agensi kerajaan, swasta dan NGO.

Katanya, antara yang mengambil bahagian termasuklah Pejabat Residen Bahagian Mukah, Pejabat Daerah Matu, Jabatan Kesihatan Matu, JBALB, Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD), JKR, Jabatan Pertanian dan lain-lain lagi.

“Ketua Menteri dijangka tiba pada majlis ini pada jam 10.00 pagi. Selain menyempurnakan penangguhan pesta beliau juga akan merasmikan Majlis Gawai Raya Peringkat Daerah Matu selain menyaksikan Penyerahan Projek Rakyat, merasmikan Masjid Daerah Matu dan pecah tanah projek pembangunan pekan baharu daerah Matu,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Orang ramai membanjiri tapak pesta Matu.

Wan Hipni berkata, Pesta Matu diadakan sempena sambutan Hari Daerah Matu yang ke 28.

Selain itu katanya, penganjur juga membuka peluang kepada peniaga kecil tempatan dengan menyediakan 40 buah gerai.

Menurutnya, sebanyak 20 acara juga disediakan bagi memeriahkan lagi pesta termasuk persembahan artis –artis terkenal tempatan.

“Projek-projek rakyat yang diumumkan oleh Ketua Menteri tahun lalu dan telah dianugerahkan tahun ini. Abang Jo akan menyaksikan penyerahan projek yang bernilai kira-kira RM100 juta itu daripada agensi pelaksana kepada pihak kontraktor.

“Ia merangkumi dua projek Jabatan Kerja Raya, tiga Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan satu Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID).

“Sebelum ini, majlis pecah tanah masjid disempurnakan oleh Allahyarham Tok Nan manakala Ketua Menteri pula pernah hadir di Matu untuk menyaksikan projek mula kerja masjid pada tahun 2017. Masjid pertama daerah Matu ini sudah pun siap sepenuhnya.

“Saya berharap penduduk hadir beramai-ramai untuk meraikan kehadiran beliau,” katanya.

Antara jemputan kenamaan yang dijangka hadir, Ahli Parlimen P207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.44 Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya dan ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad, beberapa menteri kabinet negeri dan wakil rakyat.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi mengabadikan kenangan bersama salah buah kumpulan kesenian dalam Pesta Matu, malam tadi.