SARIKEI: Sekurang-kurangnya 12 acara menarik menanti orang ramai sempena penganjurtan Pesta Rakyat yang akan berlangsung Padang Kampung Seberang pada 7 Julai ini.

Pesta yang dijangka menarik penyertaan lebih 3,000 penduduk terutama golongan belia itu dianjurkan bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N41 Kuala Rajang, Saberkas Kuala Rajang dan PBB N45 Repok.

Pengerusi penganjurnya, Mohd Tazullah Khan berkata, program yang bertemakan Jom Berambeh Bersama Komuniti ini sebahagian usaha mengukuhkan perpaduan di samping menggalak penyertaan masyarakat khususnya golongan belia dalam aktiviti sihat.

Selain itu katanya, ia juga bermatlamat mendekatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.

“Antara acara yang akan diadakan ialah pertandingan Street Soccer, Street Soccer, Petanque, Dart, Sepaktakraw, Mewarna (Kanak-kanak Warga Emas), Gubahan Bunga, Memasak dan BeyBlade.

Mohd Tazullah Khan

“Pada masa yang sama kita juga akan mengadakann Pertandingan Ratu Kebaya, Cosplay, Karaoke dan Kapal Terbang (Belon) Kertas,” katanya kepada wartawan.

Beliau berkata, penganjur turut membuka peluang peniagaan kepada penjaja kecil melalui penglibatan 30 gerai pelbagai jualan.

Dalam pada itu katanya, perhimpunan bikers juga diadakan dan dijangka menarik penyertaan lebih 1,000 peminat motosikal daripada 30 buah kelab motor seluruh Sarawak.

“Sehubungan itu, seluruh warga Sarikei dijemput untuk bersama-sama memeriahkan penganjurannya,” jelasnya.

Program akan dirasmikan Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.41 Kuala Rajang.