BINTULU: Lebih 200 peserta menyertai aktiviti gotong royong membersih bandar Bintulu, petang semalam.

Aktiviti minggu kedua anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) ini turut disertai pelbagai agensi dan jabatan kerajaan dan swasta termasuk pertubuhan bukan Kerajaan, kelab dan persatuan serta institusi pengajian tinggi awam yang terdapat di Bahagian ini.

Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada persiapan Bintulu sebagai tuan rumah penganjuran sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai depan.

Aktiviti gotong royong yang diadakan setiap Sabtu dan Ahad bermula 22 Jun lalu mendapat sambutan agak memberangsangkan daripada orang ramai khususnya NGO.

Penganjuran aktiviti tersebut juga selaras dengan hasrat BDA menjadikan Bintulu sebagai bandar perindustrian paling terbersih menjelang 2030.

Ini merupakan julung kali sambutan(Hari Sarawak) diadakan di luar bandaraya Kuching dan masayarakat Bintulu seharusnya berasa bertuah dengan pemilihan Bintulu sebagai tuan rumah kali ini.

Yang DiPertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan isteri, Datin Patinggi Datuk Amar Hajah Juma’ani Tuanku Bujang dijangka menghadiri majlis sambutan perayaan tersebut.

Pelbagai aktiviti bakal dilangsungkan sebagai pengisian sambutan perayaan Hari Sarawak Tahun 2019 yang dijadualkan pada 22 Julai depan bertempat di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu.

Antaranya, penganjuran Sarawak Day E- Sports Cup 2019 pada 20 hingga 22 Julai bertempat di Paragon Street Mall, Sarawak Day Run(21 Julai, Wisma BDA), majlis kesyukuran melibatkan semua tempat ibadah, Konsert Kamek Sayang Sarawak(21 Julai, tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, perhimpunan sambutan perayaan Hari Sarawak (22 Julai, tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu) serta Pameran Hari Sarawak(22- 28 Julai,Paragon Street Mall).

Turut diadakan juga peraduan esei bagi sekolah menengah dan peraduan mewarna pada 21 hingga 22 Julai di Monumen Dewan Undangan Negeri(DUN) pertama yang terletak di pusat bandar Bintulu.