LIMBANG: Pengaruh budaya negatif barat semakin menjadi-jadi dalam kalangan masyarakat Limbang.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata, semakin hari semakin banyak cerita yang tidak baik berlaku terutamanya dalam kalangan belia.

Menurutnya, gejala-gejala barat semakin menjadi ikutan golongan belia seperti dadah, syabu dan minuman arak.

“Gejala ini merupakan agenda orang luar untuk merosakkan golongan belia agar tiadanya pelapis yang dapat memimpin negara kelak.

“Negara akan hancur jika belianya hancur,” katanya semasa Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran Masjid Al-Qurnia Kampung Pandam, di sini, semalam.

Hasbi berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam membendung gejala itu.

“Beri didikan agama yang cukup kepada anak kerana agamalah benteng paling penting.

“Semua ibu bapa di dunia ini mahu melihat anak mereka berjaya di dunia dan akhirat,” ujarnya.

Selain itu, jelasnya, masyarakat sekeliling juga mempunyai peranan sama.

“Budaya jaga tepi kain orang harus dikembalikan semula demi masa depan agama dan bangsa kita.

“Tegurlah masyarakat sekeliling jika mereka melakukan kesalahan,” tegasnya.