Abang Johari dijangka hadir Majlis Penangguhan Pesta Matu

MATU: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka hadir pada majlis penangguhan Pesta Matu 2019, di sini, 30 Jun ini.

Pegawai Daerah Matu, Wan Hipni Wan Mohamad berkata, Abang Johari dijangka tiba pada majlis berkenaan pada jam 10.00 pagi.

Selain menyempurnakan penangguhan pesta katanya, Abang Jo juga merasmikan Majlis Gawai Raya Peringkat Daerah Matu, menyaksikan Penyerahan Projek Rakyat, merasmikan Masjid Daerah Matu dan pecah tanah projek pembangunan pekan baharu daerah Matu yang akan dilaksanakan oleh pihak Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).

“Projek-projek rakyat yang diumumkan oleh Ketua Menteri tahun lalu dan telah dianugerahkan tahun ini. Abang Jo akan menyaksikan penyerahan projek yang bernilai kira-kira RM100 juta itu daripada agensi pelaksana kepada pihak kontraktor.

“Projek terbabit merangkumi dua projek Jabatan Kerja Raya, tiga Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan satu Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak (DID).

“Sebelum ini, majlis pecah tanah masjid disempurnakan oleh Allahyarham Tok Nan manakala Ketua Menteri pula pernah hadir di Matu untuk menyaksikan projek mula kerja masjid pada tahun 2017. Masjid pertama daerah Matu ini sudah pun siap sepenuhnya.

“Acara simbolik perasmian dijangka diadakan sebelum beliau bersolat jemaah Zohor bersama rakyat,” katanya ketika dihubungi wartawan Suara Sarawak, semalam.

Mengulas lanjut, Wan Hipni berkata, program yang bermula pada jam 8.30 pagi itu dijangka dimeriahkan dengan kehadiran seramai 3,000 hingga 5,000 orang penduduk
.
Pada masa yang sama katanya, sebanyak 21 gerai pameran terdiri daripada agensi kerajaan, swasta dan NGO turut mengambil bahagian antaranya, Pejabat Residen Bahagian Mukah, Pejabat Daerah Matu, Jabatan Kesihatan Matu, JBALB, Majlis Daerah Matu dan Daro (MDMD), JKR, Jabatan Pertanian dan lain-lain lagi.

“Pesta Matu diadakan sempena sambutan Hari Daerah Matu yang ke 28. Selain itu, kita juga membuka peluang kepada peniaga kecil tempatan dengan menyediakan 40 buah gerai. Pada masa yang sama, sebanyak 20 acara juga disediakan bagi memeriahkan lagi pesta termasuk persembahan artis –artis terkenal tempatan.

“Kita bersyukur Ketua Menteri sentiasa turun padang dan sering berkunjung ke sini. Ia menunjukkan keprihatinan beliau yang sentiasa mengambil berat masalah dan keperluan rakyat khususnya di kawasan ini.

“Saya berharap penduduk hadir beramai-ramai untuk meraikan kehadiran beliau,” katanya.

Antara jemputan kenamaan yang dijangka hadir, Ahli Parlimen P207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.44 Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya dan ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad, beberapa menteri kabinet negeri dan wakil rakyat.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak