Bersama pertahankan Sarawak

KUCHING: “Negeri Sarawak macam orang dara… kacak”, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika menggambarkan pandangan masyarakat luar terhadap negeri ini.

Katanya, Sarawak memiliki mutiara berharga dan kekuatan yang ada di negeri ini tidak disenangi sesetengah pihak.

“Mutiara ini sama seperti orang dara kacak dan fitrah manusia suka kepada benda yang kacak-kacak.

“Dari sudut negeri pula, Sarawak sama seperti mutiara dalam Malaysia,” katanya ketika berucap dalam Majlis SAMArindok Aidilfitri Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di sebuah hotel terkemuka di sini, kelmarin.

Tambahnya, Sarawak merupakan aset bernilai dan sudah pasti ramai yang berebut dan berminat untuk mendekatinya.

“Saya yakin hanya anak-anak Sarawak sahaja yang mampu mempertahankan negeri ini.

“Kita semua perlu bersatu padu dalam mempertahankan hak kita di negeri ini,” jelasnya.
Menurut Abang Johari, AKYBMS mempertahankan budaya, hak dan mempromosikan cara hidup Melayu yang begitu tinggi dalam tahap dan standard.

“Kita berjaya dari peringkat ke peringkat dan tugas kita mempertahankan hak termasuk tanah.

“Kita mahu semua rakyat di negeri ini menggunakan kemudahan yang disediakan untuk memajukan diri termasuk dalam sektor pertanian,” ujarnya.

Katanya, segala kemudahan logistik sangat baik dan teknologi disediakan termasuk kawasan luar bandar akan membantu dalam meningkatkan pendapatan.

“Kita tidak akan melepaskan tanah kepada orang luar kerana tanah di negeri ini akan membuahkan hasil yang baik,” jelasnya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi AKYBMS Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan

Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Speaker Dun Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nas-sar, Timbalan Pengerusi AKYBMS merangkap Menteri Muda e-Dagang yang juga Menteri Muda Keusahawanan dan Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohamad Naroden Majais.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak