SMK Petra Jaya cipta rekod M’sia

KUCHING: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Petra Jaya berjaya mencipta rekod dalam kategori Program Pameran dan Pertandingan Reka Bentuk Setem Terbanyak (Rebest) dalam Malaysian Book of Record dengan jumlah 691 rekaan setem.

Pengarah Pendidikan Sarawak Dr. Azhar Ahmad berkata, SMK Petra Jaya menyertai pertandingan ini buat julung kali sebagai percubaan tetapi mereka berjaya mencipta rekod tersebut.

“Kelab Setem dan Filatepi (Kesef) memainkan peranan penting sebagai salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah.

“Matlamat utama Kesef adalah untuk memupuk dan melahirkan modal insan yang berinovatif, kreatif dan menghargai sejarah,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus dalam Majlis Perasmian Penutupan Program Pameran dan Pertandingan ReBest dan Malaysia Book of Records (MBOR) Tahun 2019 di SMK Petra Jaya, semalam.

Azhar berharap penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum dan penglibatan guru sebagai pembimbing harus dianggap sebagai satu pelengkap ke arah membentuk insan.

“Penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum ialah suatu yang positif dalam diri murid dan bukan hanya tertumpu kepada kepada akademik sahaja.

“Pencapaian akademik cemerlang menjadi keutamaan tetapi pelajar juga perlu menyesuaikan diri dengan masyarakat dan dunia sebenar melalui aktiviti di luar bilik darjah seperti kokurikulum dan kemasyarakatan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak seperti ini,” jelasnya.

Beliau juga mengucapkan tahniah dah syabas kepada semua murid dan guru yang menyertai pertandingan reka bentuk setem tersebut.

Sementara itu, Pengetua SMK Petra Jaya Khasim Brahim berkata objektif ReBeST adalah membentuk murid yang menghargai dan mencintai Malaysia.

“Ini juga untuk membentuk murid yang menjiwai semangat perpaduan, memiliki keterampilan diri, berdaya saing, kreatif serta inovatif dalam menghadapi pelbagai cabaran global.

“Pihak sekolah telah berusaha mencipta rekod dalam Buku Rekod Malaysia melalui Pameran Reka Bentuk Setem Terbanyak dan menetapkan sasaran sebanyak 1,000 keping setem atau lebih,” katanya dalam ucapan, semalam.

Jelas Kashim, sebanyak 60 sekolah menengah dan 55 sekolah rendah dari seluruh Malaysia menyertai program ini dengan tema Malaysia Indah.

Menurut Guru Penyelaras Kesef, Hajijah Awi sebanyak 40 sekolah menengah dan rendah di Sarawak menyertainya.

Turut diadakan pada semalam adalah penyampaian hadiah kepada para pemenang yang terdiri daripada guru dan murid dadi sekolah di seluruh Malaysia.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Kuching Kamariah Said, Pegawai Malaysia Book Of Records Nurul Fatihah Mahmood, Presiden Persatuan Filateli Malaysia Datuk Anuar Bashah serta wakil yang lain.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak