Toleransi Sarawak kekal unik

SARIKEI: Sarawak kekal unik melalui konsep toleransi dan semangat perpaduan yang terjalin erat kalangan masyarakat sejak dahulu lagi, kata Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.

Beliau menjelaskan, keunikan itu terserlah ketika sambutan perayaan apabila diraikan dalam suasana penuh harmoni dan muhibah meskipun berbeza budaya dan agama.

“Kita boleh merayakan perayaan bersama. Ini sudah menjadi kelaziman namun bagi pengunjung luar yang pertama kali datang ke sini, suasana ini adalah sesuatu yang unik dan amat luar biasa,” katanya pada Majlis Sambutan Gawai Raya di Pejabat Daerah Sarikei, semalam.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua lapisan masyarakat menggunakan sambutan Gawai Raya sebagai platform untuk merapatkan lagi hubungan sedia ada.

Menurut Len, perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk menjadi faktor kekuatan kepada kestabilan politik dan pembangunan negeri ini.

“Kita tidak mempunyai sebarang isu perkauman dan agama, malah rakyat dapat hidup harmoni di bawah satu bumbung.

“Hubungan kerjasama dalam kalangan juga kita masih kekal utuh. Inilah sebabnya penting untuk kita mengekalkan perpaduan,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Adun Kuala Rajang itu berkata, pemimpin masyarakat peringkat akar umbi berperanan penting membantu Kerajaan Negeri meneruskan agenda pembangunan untuk rakyat.

Tegasnya, pemimpin peringkat akar umbi adalah mata dan telinga yang harus berperanan sebagai penghubung antara masyarakat dan kerajaan selain perlu lebih produktif berganding bahu mendekati rakyat.

“Ketua masyarakat dan ketua kaum perlu mempunyai hubungan yang baik dengan pihak Pejabat Daerah dan wakil rakyat.

“Malah, kerjasama dan persefahaman antara pemimpin dengan akar umbi memudahkan tugas wakil rakyat untuk menyelesaikan segala bentuk masalah penduduk,” katanya.

Sejajar dengan perkembangan semasa, ketua masyarakat juga mesti peka terhadap sebarang bentuk isu bagi menangkis maklumat tidak tepat yang disebarkan oleh pohak tidak bertanggungjawab.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak