KETUA jurulatih skuad Piala Presiden Sarawak, Jalil Ramli membayangkan lima orang anak-anak buahnya berpotensi untuk ‘dinaikkan pangkat’ menyarung jersi pasukan senior musim depan.

Menurutnya, ia membabitkan semua empat posisi iaitu penjaga gol, pertahanan, tengah dan serangan.

“Dalam pemerhatian saya terdapat empat hingga lima pemain yang mempunyai peluang cerah untuk menyertai pasukan utama Sarawak musim depan,” katanya.

Jalil menjelaskan adalah menjadi keutamaannya untuk melahirkan pemain baharu yang boleh diserapkan ke dalam pasukan senior.

“Walaupun kita menunjukkan prestasi yang tidak menentu sepanjang musim… banyak kalah, tetapi terdapat perubahan ketara dalam kalangan pemain.

DENGAR SINI… Jalil Ramli memberikan taklimat kepada anak-anak buahnya ketika sesi latihan di Miri.

“Mereka nampaknya semakin yakin, tidak mudah hilang penguasaan bola,” jelasnya.

Posisi yang menunjukkan peningkatan ketara ialah serangan.

“Corak serangan pemain lebih tersusun sekarang ini, berbanding pada awal musim,” kata Jalil yang memiliki Lesen Kejurulatihan Super A.

“Bagaimanapun, banyak lagi kerja yang perlu dibuat… kerana apabila membimbing pemain muda anda tidak akan dapat hasil dalam sekelip mata, tetapi memerlukan masa,” ujar bekas ketua pasukan Sarawak itu.

Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) memberi kepercayaan kepada Jalil untuk membimbing pasukan Piala Presiden musim ini bersama-sama tiga lagi bekas pemain Sarawak, Pengiran Bala, Abu Bakar Amran dan Jahar Nor (jurulatih penjaga gol).

Pada penghujung tahun lalu, FAS pada mulanya berhasrat untuk melantik Jalil mengurus pasukan senior, tetapi pakar lontar jarak jauh itu memilih pasukan Piala Presiden.

Dengan pengalaman lebih 10 tahun di Semenanjung Malaysia dan pernah membimbing pasukan Sarawak pada 1999 hingga 2005, Jalil yakin mampu melahirkan generasi pemain baharu yang boleh membantu skuad utama Sarawak suatu hari nanti.

Sepanjang bersama Sarawak sebagai pemain, Jalil pernah menjulang Piala FA 1992, Piala Liga Perdana 1997 dan Piala Sumbangsih 1998. Sebagai jurulatih Jalil pernah membawa Sarawak ke final Piala Malaysia 1999 dan final Piala FA pada 2000.

TAHUKAH ANDA !

Bakat Jalil Ramli dikenal pasti oleh Awang Mahyan Awang Mohamad ketika menyertai Piala Sarawak 1987 di Bintulu. Lontaran hebat yang menyamai kekuatan sepakan sudut mengangkat nama Jalil sebagai pemain unik. Mula menyarung jersi pasukan Sarawak pada 1988 hingga 1998 dan kemudiannya dilantik sebagai ketua jurulatih pada 1999 hingga 2005. Dia juga adalah ketua pasukan di bawah bimbingan jurulatih asing ternama, Alan Vest.