SERIAN: Rakyat Sarawak harus mempertahankan keharmonian dan budaya asli yang tidak terdapat di tempat lain.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, keunikan budaya dan keharmonian harus dikekalkan oleh pelbagai lapisan masyarakat di Sarawak.

Katanya, rakyat Sarawak harus bergerak sehati sejiwa untuk bersama-sama menjaga dan mempertahankan perpaduan dan keharmonian.

“Hanya orang kita sahaja memahami adat dan budaya kita dan ia harus dipertahankan.

“Orang luar tidak faham mengenai budaya kita dan hanya mahukan hasil Sarawak sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Hari Gawai Peringkat Negeri di rumah inap desa di Kampung Pichin di sini, malam kelmarin.

Beliau menambah, kaum Bidayuh juga memainkan peranan penting dalam sektor pembangunan.

Abang Johari berkata, kaum Bidayuh harus menggunakan tanah dengan menghasilkan pelbagai tanaman yang dapat memberi pulangan tunai selain padi bagi meningkatkan pendapatan.

“Kaum Bidayuh menunjukkan semangat sehati sejiwa untuk terus membangun dari segi ekonomi dan pembangunan,” ujarnya.

Beliau juga menambah, tanah harus diguna dan diusahakan sebaiknya, bukan untuk dijual walaupun sudah menerima surat hak milik tanah.