KITA sekali lagi dikejutkan dengan kes enam rakyat Sarawak yang terkandas di Kepulauan Solomon selepas menghadapi masalah dengan majikan yang membawa mereka bekerja dalam industri balak di sana.

Ini merupakan insiden ketiga terjadi setakat Jun tahun ini yang melibatkan rakyat kita terkandas ketika mencari rezeki di luar negara selepas kes pertama membabitkan 40 orang rakyat Sarawak yang diperdaya di Kemboja dan kedua, lapan rakyat Sarawak yang terkandas di Monrovia, Liberia.

Modus operandi seakan-akan sama, menawarkan gaji lumayan termasuk kemudahan semasa bekerja di luar negara menjadi tarikan utama rakyat negeri ini tanpa befikir panjang menerima tawaran ini.

Kita tidak harus berdiam diri dan perlu mengambil pendekatan yang boleh menjadi panduan bagi mereka yang mengintai peluang bekerja di luar negara, terutamanya bagi yang datang dari kawasan luar bandar yang sering menjadi mangsa.

Berdasarkan ketiga-tiga kes yang berlaku, golongan luar bandar dan hulu sungai menjadi sasaran utama sindiket yang menjalankan kegiatan tidak bermaruah ini.

Oleh itu, kita perlu melipatgandakan usaha bagi mengekang lebih ramai rakyat negeri ini terjebak dan mengalami nasib yang sama seperti rakan-rakan mereka sebelum ini.

Mangsa Penipuan

Kita juga sedar niat mereka (mangsa) hanya ingin mencari rezeki dan tahu akan risiko yang perlu dihadapi, namun terpaksa meneruskan niat tersebut bagi menyara keluarga di kampung.

Mengimbau kembali detik 47 orang rakyat Malaysia iaitu 40 daripada jumlah itu adalah rakyat Sarawak ditahan di sebuah penjara di Kemboja yang didalangi rakyat tempatan dan kini telah dibawa ke muka pengadilan dan dibicarakan.

Walaupan terdapat fakta kes tidak boleh didedahkan kepada umum atas sebab-sebab tertentu, namun kita percaya dengan sistem perundangan kesemua mangsa akan mendapat keadilan yang sewajarnya.

Memetik berita Astro Awani, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah tidak menolak kemungkinan kes penipuan 47 warga Malaysia yang ditangkap dan ditahan di Penjara Poi Pet, Kemboja didalangi rakyat tempatan.

Empat puluh tujuh rakyat Malaysia terbabit ditangkap pada 11 Disember lalu kerana disyaki terbabit dalam pengendalian judi haram di negara berkenaan dan ditahan di Penjara Poi Pet, Kemboja sebelum dibebaskan.

Mereka tiba di KIA dengan menaiki pesawat yang disewa JC Airlines, dari Seam Reap dan tiba di KIA kira-kira jam 3.10 petang 17 Februari, manakala empat orang dari Semenanjung menaiki pesawat AirAsia ke Kuala Lumpur.

Begitu juga kes kedua iaitu lapan rakyat Malaysia terkandas di Monrovia, Liberia sejak 4 Februari lalu selepas tertipu dengan sindiket pekerjaan tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 March.

Menurut Suara Sarawak, Kesemua mangsa berasal dari Sarawak itu disambut Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah. Mereka kemudian menaiki penerbangan pulang ke Sarawak.

Ditawarkan Gaji Lumayan

Salah seorang mangsa, Bon Egat berkata, dia dan Aji serta empat lagi rakan dari Sibu terbang ke Liberia dengan ditemani oleh seorang rakyat Malaysia yang dikenali sebagai ‘tauke’ dan ketika di negara berkenaan mereka bertemu Salim dan Suhaili berasal dari Betong.

Namun katanya, kerja pembalakan yang dijanjikan dengan gaji setinggi RM9,000 itu tidak wujud. Mereka ditinggalkan di rumah tanpa bekalan air dan elektrik. ‘Tauke’ pula meninggalkan mereka kerana buntu dan tidak tahu apa yang perlu dibuat.

Manakala kes terbaharu melibatkan enam rakyat Sarawak yang terkandas di Kepulauan Solomon, kesemua mereka berasal dari kawasan luar bandar, empat dari Kapit dan dua dari Baram.

Difahamkan mereka terkandas di Kepulauan Solomon selepas menghadapi masalah dengan majikan yang membawa mereka bekerja dalam industri balak di sana.

Mereka kemudian datang ke Pejabat Konsul Kehormat Malaysia di Kepulauan Solomon pada 13 Mei lalu untuk mengadu mengenai keadaan mereka sehingga berjaya dibawa balik ke Sarawak.

Kejayaan membawa pulang mereka ini adalah hasil usaha Timbalan Ketua Menteri yang juga Adun Baleh, Tan Sri James Jemut Masing dan Adun Telang Usan, Dennis Ngau dengan kerjasama Wisma Putra.

Justeru, kita berharap ada pihak mengambil pendekatan dan usaha bagi mengekang insiden ini daripada terus membelenggu rakyat terutamanya golongan pekerja industri pembalakan di negeri ini.

Pada masa yang sama kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat kita amatlah penting, agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis majikan yang tidak bertanggungjawab.