KUCHING: Kerajaan Sarawak akan terus memperjuangkan hak negeri ini termasuk minyak dan gas berdasarkan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58).

Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek Sarawak, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, OMO58 merupakan undang-undang yang diperakui sah dan tiada apa yang boleh menyekat Sarawak untuk melaksanakannya.

Menurut beliau, undang-undang tersebut diluluskan pada 1958 dan ia masih berjalan, bermakna Sarawak boleh mempertahankan hak negeri menerusi OMO58.

“OMO58 diwujudkan untuk mengawal selia operasi perlombongan minyak dan gas, kita perlu mempertahankan sumber yang ada di negeri ini.

“Kita tidak berkompromi terhadap sumber yang diambil daripada bumi Sarawak tidak kira ia di atas tanah atau dasar laut yang berada dalam sempadan negeri ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Dialog Awam berkaitan OMO58, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pelembagaan Malaysia anjuran Wanita GPS, di sini, semalam.

Tambahnya, sesiapa sahaja yang mahu memiliki, mengambil dan menerokai sumber minyak dan gas mesti mematuhi OMO58.

“Pihak berkenaan perlu mengambil lesen, membayar cukai tahunan, royalti, permit serta mematuhi sebarang syarat yang dikenakan oleh Kerajaan Sarawak.

“Ia termasuk syarikat minyak seperti Shell dan Petronas,” jelasnya.

Beliau menjelaskan rundingan dengan Petronas bergantung kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan ia tidak dikecualikan dalam hal berkaitan minyak dan gas.

“Petronas pernah membawa isu ini hingga ke mahkamah tetapi ia ditolak kerana mahkamah memihak kepada Kerajaan Sarawak ketika itu.

“OMO58 juga telah dipinda untuk memperbaiki undang-undang bagi memperkemaskan standard minyak dan gas zaman moden,” kata beliau.

Hasidah juga menegaskan bahawa, rundingan bersama pihak Petronas akan diteruskan berkaitan dengan butiran seperti yuran dan royalti dengan cara yang baik.

“Kita akan cuba dapatkan semula hak kita yang sudah diambil dan akan terus berusaha mempertahankan perkara tersebut,” jelasnya.

Ahli panel bersama-sama Hasidah dalam Dialog Awam tersebut ialah Ahli Parlimen Satubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Badar Sibu Robert Lau Hui Yew.