TANJUNG MANIS: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan merasmikan Karnival Pantai Belawai yang berlangsung secara besar-besaran di Tapak Pesta Belawai, 6 Julai ini.

Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang berkata, Abang Johari dijangka tiba pada majlis berkenaan pada 10 pagi.

Pada majlis itu katanya, Ketua Menteri akan melepaskan belon sebagai simbolik perasmian karnival, penanaman pokok, menyempurnakan acara sepak mula Kejohanan Bola Sepak Pantai Belawai dan Sukan Rakyat.

“Pada masa yang sama, Abang Jo juga dijangka menyampaikan amanat penting di samping meluangkan masa bersama rakyat Belawai, ” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Udin berkata, seramai 5,000 pengunjung dijangka memeriahkan karnival yang sebelum ini dikenali sebagai Pesta Belawai itu.

Penganjuran acara tahunan itu katanya, bertujuan mengeratkan silaturahim antara penduduk selain salah satu usaha untuk mempromosikan Pantai Belawai sebagai salah satu tarikan pengunjung khususnya di kawasan tengah Sarawak.

Selain acara hiburan katanya, penganjur juga menyediakan sebanyak 150 gerai beraneka jualan bagi membuka peluang peniagaan kepada peniaga kecil tempatan.

“Dalam pada itu, kita juga menyediakan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung yang bertuah pada hari perasmian. Sudah pasti kehadiran Ketua Menteri akan menyerikan lagi karnival ini nanti.

“Sehubungan itu, saya mempelawa penduduk hadir beramai-ramai untuk meraikan kehadiran beliau,” katanya.

Majlis ini juga akan dihadiri Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol dan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab.