PUSA: Orang ramai yang kurang jelas dengan polisi serta dasar-dasar terkini kerajaan boleh mengetahuinya melalui agensi-agensi yang terlibat dengan program Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS) yang mana, dalam masa yang sama menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada penduduk luar bandar.

Timbalan Setiausaha Bahagian Strategik Korporat dan Komunikasi Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) Abu Bakar Jambol memberitahu, inilah masa yang tepat untuk masyarakat mengenali lebih dekat agensi-agensi Persekutuan termasuk perkhidmatan yang disediakan.

“Kalau ada kemusykilan tentang polisi serta dasar-dasar terkini kerajaan, jangan malu untuk bertanya!

“Begitu juga sekiranya ada ketidakpuasan hati terhadap perkhidmatan agensi tertentu.

“Masa inilah paling sesuai kerana dalam program dua hari ini, pelbagai agensi turun padang dalam usaha menyantuni rakyat yang menjadi platform untuk kita berinteraksi. Bukan sahaja antara agensi namun merangkumi segenap lapisan masyarakat yang akan mengeratkan silaturahim.

KHIDMAT DAN PAMERAN … Orang ramai mendapatkan perkhidmatan serta informasi berguna daripada agensi kerajaan yang turun padang.

“Kita tidak dapat melaksanakan program seumpama ini setiap minggu mahupun bulan ekoran kekangan sumber, maka saya menyeru ambillah peluang. Kita ingin merapatkan jurang.

“Insha-Allah agensi yang kita bawakan ke Kampung Pusa ini memberikan perkhidmatan yang terbaik demi mendokong hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat menerima manfaat sebaik mungkin,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika mewakili Setiausaha Persekutuan Sarawak Mohd. Shahabuddin Omar merasmikan program MCS Siri 1 2019 MoF yang berlangsung di Dataran Tandang Sari, baru-baru ini.

Hadir sama Pegawai Kewangan Perbendaharaan Malaysia Sarawak Mohd. Saiful Sungkih Abdullah, Pegawai Daerah Pusa Bujang Budin serta ketua-ketua jabatan, masyarakat dan kaum.

UNTUK KENANGAN … Abu Bakar (dua kiri) serta tetamu lain menunjukkan simbol bagus selepas melakukan simbolik perasmian program MCS Siri 1 2019 MoF yang berlangsung di Dataran Tandang Sari, semalam. 

Jelasnya, MoF telah melaksanakan program MCS ini sejak lima tahun lalu dengan menghimpunkan sebahagian agensi yang selalunya hanya ada di kawasan bandar.

“Alhamdulillah, kita dapat meneruskan pelaksanaannya dan mudah-mudahan hasrat untuk menyantuni rakyat bagi memberi manfaat penduduk di sini tercapai.

“Sebenarnya, program ini juga kesinambungan daripada Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan matlamatnya sama iaitu memberi perkhidmatan sehenti yang tidak memerlukan rakyat pergi jauh, dan dalam satu masa banyak perkhidmatan boleh didapati,” ujarnya.

Sementara itu bagi Saiful yang menjadi penggerak utama program ini menyifatkan ia sebagai program untuk mengangkat perkhidmatan awam yang sentiasa berada pada barisan hadapan dalam menyantuni rakyat.

Katanya lagi, program MCS berperanan merapatkan jurang antara rakyat dan agensi kerajaan.

Program kali ini disertai 23 agensi yang menawarkan pelbagai perkhidmatan serta turut diisi dengan bermacam-macam pengisian.

PENGHARGAAN … Abu Bakar (kiri) menerima cenderahati daripada Saiful tanda terima kasih atas kesudian merasmikan program MCS Siri 1 2019 MoF yang berlangsung di Dataran Tandang Sari, semalam. Turut kelihatan Bujang (kanan) Foto. OSMAN RAZALI