BELADIN: Penduduk di kawasan Beting Maro khususnya di Kampung Beladin masih mendambakan agar sebuah Sekolah Kebangsaan (SK) Agama dapat diwujudkan di sini.

Adunnya Razaili Gapor memberitahu walaupun sudah dirancang agak lama, namun masih gagal dilaksanakan.

Beliau bagaimanapun menyifatkan usaha untuk mewujudkan sekolah rendah beraliran agama sebagai keutamaan dan tidak akan berhenti begitu sahaja dalam mendapatkan pertimbangan kerajaan.

“Saya sudah berusaha lama, sehingga tiga tahun lalu kerajaan bersetuju mendirikannya di atas tapak seluas 15 ekar bersebelahan Balai Polis Beladin. Namun atas beberapa perkara, ia tertangguh.

“Dalam masa yang sama untuk mempercepatkan operasinya supaya kita dapat menyediakan sekolah rendah beraliran agama, pada tahun lepas terdapat cadangan untuk menggunakan bangunan lama SK Beladin sebagai kegunaan sementara.

“Malangnya disebabkan isu teknikal, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak memberi kelulusan atas faktor keselamatan,” katanya.

TAHNIAH … Razaili menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan tapak penyediaan makanan pada Majlis Ramah-Tamah Gawai Raya SK Beladin yang berlangsung di Anjung Seri Gemilang, semalam. Foto. OSMAN RAZALI

Beliau bercakap demikian ketika merasmikan Majlis Ramah-Tamah Gawai Raya SK Beladin yang berlangsung di Anjung Seri Gemilang, semalam.

Walaupun masih terdapat halangan sehingga tertangguh beberapa kali, beliau berpendirian untuk tidak patah semangat dan berputus asa.

“Saya faham warga Beting Maro amnya dan Kampung Beladin khususnya begitu mendambakan kewujudkan SK Agama di sini.

“Sebab itu untuk perkembangan terbaharu, operasinya turut dicadangkan di SK Beladin buat sementara waktu sekiranya mendapat sokongan,” ujarnya.

Jelasnya, dengan kepesatan pembangunan jaringan perhubungan menyebabkan Kampung Beladin menjadi laluan utama sekaligus memudahkan kemasukan perkara baik atau sebaliknya.

TINJAU-TINJAU … Razaili dan isteri mendapatkan juadah raya yang disediakan pada majlis tersebut.

Jadi, katanya institusi sekolah dan keluarga memainkan peranan yang amat penting dalam melahirkan modal insan yang berguna.

“Gagalnya kedua-dua institusi itu, maka kita semakin sukar untuk membendung gejala negatif yang masuk ke sini.

“Justeru, saya menyeru semua pihak untuk mengambil tanggungjawab masing-masing… sekolah ada tanggungjawab, ibu bapa juga ada, masyarakat ada, wakil rakyat ada dan semua pihak tersebut perlu berganding bahu.

“Sebab itu, saya berhasrat menghulurkan apa jua usaha yang baik dalam kita melahirkan lebih ramai masyarakat yang berjaya.

“Sebagai bekas anak didik SK Beladin, saya ingin melihat kerjasama semua kerana dengan adanya semangat itu, saya yakin segala yang dirancang dapat dipermudahkan,” jelasnya.

Razaili pada majlis tersebut meluluskan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada tabung PIBG selain kelulusan pembinaan pondok menunggu untuk memudahkan ibu bapa menghantar dan mengambil anak di sekolah.

Hadir sama Guru Besar Hamizol Sapong, Timbalan Yang Dipertua PIBG SK Beladin Hamisah Nawi serta ketua-ketua masyarakat dan kaum.