Jumlah siswazah yang semakin ramai saban tahun menyebabkan jumlah jawatan di sektor awam dan swasta kelihatan semakin mengecil menyebabkan siswazah menganggur bertambah.

Pelbagai langkah diambil oleh pihak kerajaan dan swasta untuk membantu siswazah mendapatkan pekerjaan sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari menara gading.

Misalnya jalinan kerjasama dengan sektor korporat, dengan memberi peluang kepada siswazah yang berkelayakan dengan kursus masing-masing untuk mengisi jawatan yang bersesuaian. Selain itu, pelbagai saluran untuk mendapatkan pekerjaan seperti Jobstreet juga diwujudkan bagi memudahkan golongan ini.

Kita akui bantuan seumpama ini, sedikit banyak memberi ruang kepada mereka. Bagaimanapun, kebanyakan sektor korporat, terutama yang berprestij memilih calon lebih berpengalaman demi menjaga reputasi organisasi.

Pekerja baharu yang tidak berpengalaman biasanya mengambil masa untuk menjadi mahir. Tetapi hakikatnya, bagaimana golongan ini dapat menjadi mahir tanpa diberi ruang dan peluang menimba pengalaman dalam organisasi besar atau sudah mempunyai nama?

Kaji selidik pekerjaan di Sarawak mendapati majikan biasanya menilai personaliti iaitu 75 peratus bersetuju ia merupakan kualiti yang dicari dalam kalangan siswazah.

Selain itu, kemahiran berkomunikasi (44 peratus), tahap pendidikan (41), kemahiran bercakap dalam bahasa Inggeris (39), bidang pengajian (22), keputusan akademik (17), kemahiran bertutur dalam bahasa Mandarin (14) dan pengalaman latihan industri (13).

Ini bermakna, personaliti dan kemahiran berkomunikasi amat penting, selain tahap akademik. Personaliti positif seperti yakin, ceria, cergas, gigih, penyayang dan seumpamanya penting bagi mana-mana majikan, kerana ia boleh memberi imej dan aura positif terhadap organisasi.

Selain itu, kemahiran berkomunikasi juga menjadi kriteria utama. Ini bermakna, seseorang calon bukan sahaja perlu bijak berkomunikasi, tetapi juga perlu menguasai bahasa nombor satu dunia, iaitu bahasa Inggeris.

Oleh itu, dapat Kerajaan Sarawak yang memberi penekanan terhadap bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan sekarang ini amat tepat, terutama dalam subjek Sains dan Matematik yang masih lagi berpaut erat pada bahasa Inggeris sebagai medium, terutama di pusat pengajian tinggi.

Tidak boleh tidak, kita harus mengakui bahasa Inggeris masih lagi menguasai dunia sekarang ini. Walaupun realitinya gergasi Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan China tidak begitu mementingkan bahasa Inggeris, tetapi kita tidak dapat menjejak langkah mereka secara membuta tuli.

Selagi dasar kerajaan masih menganggap bahasa Inggeris penting dalam aspek pendidikan, perniagaan dan ilmu, selagi itu siswazah perlu menguasai bahasa tersebut.

Kita tidak harus memandangnya dari sudut yang negatif, kononnya pihak kerajaan membelakangkan bahasa ibunda. Tanpa diragui bahasa Malaysia tetap kekal utuh sebagai bahasa utama, dan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia. Bukankah menguasai dua bahasa itu lebih baik berbanding satu bahasa, begitu juga dengan menguasai tiga bahasa. Jadi, percaturannya cukup mudah, kita mahu melahirkan siswazah yang lebih baik dan berkualiti bagi memudahkan mereka mendapat pekerjaan.