MATU: Sebanyak RM10 juta diperuntukan untuk membaikpulih Rumah Panjang Melanau Kampung Sok sebagai usaha untuk mengekalkan warisan bersejarah kaum Melanau itu selain menjadikannya sebagai pusat tumpuan pelancong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.44 Jemoreng, Datuk Dr. Juanda Jaya memberitahu, peruntukan tersebut akan dimanfaatkan untuk membaikpulih sepenuhnya struktur rumah Melanau yang satu-satunya masih wujud di Sarawak itu.

Menurutnya, usaha itu juga sebahagian inisiatif Kerajaan Sarawak untuk mengekalkan dan membaikpulih beberapa tinggalan sejarah di negeri ini.

“Saya amat bersyukur, Kerajaan Sarawak telah meletakkan Rumah Panjang Melanau terakhir di Sarawak ini dalam senarai untuk dibaikpulih. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Muzium, Suria Bujang dan rombongan kerana telah sudi datang dan melihat sendiri keadaan rumah ini, Ramadan lalu.

“Sehubungan itu, saya difahamkan pihak Muzium Sarawak memperuntukan kira-kira RM10 juta pada tahun depan untuk proses pemuliharaannya,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri majlis Perasmian Masjid Daerah Matu, Ahad lalu.

Juanda berkata, satu sesi dialog turut diadakan bersama penduduk bagi memastikan mereka memahami manfaat besar usaha itu dalam tempoh jangka panjang.
Selain mengekalkan warisan bersejarah itu katanya, beberapa usaha susulan dijangka akan dilaksanakan termasuk memasukkan nya dalam senarai tempat untuk dilawati di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

“Pihak Muzium Sarawak telah memaklumkan kita bahawa, apabila siap dibaikpulih nanti rumah panjang itu boleh didaftarkan di bawah UNESCO. Inisiatif ini, secara tidak langsung akan menarik kehadiran pelancong antarabangsa untuk datang ke situ.

“Yang pasti, kesan positifnya pasti akan dinikmati oleh penduduk kawasan ini. Sehubungan itu, saya menggesa agar mereka memberikan kerjasama sepenuhnya supaya usaha ini dapat dilaksanakan dengan lebih lancar,” katanya.

Menyentuh baikpulih bumbung bangunan itu, Juanda menjelaskan, projek segera itu dillaksanakan dengan menggunakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Kita memperuntukan sedikit peruntukan RTP berdasarkan nasihat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), membaikpulih bumbung terlebih dahulu bagi menyelamatkan struktur bangunan berkenaan.

“Pihak Muzium dan pasukan mereka juga bersetuju agar bumbung itu perlu diperbaiki dan setelah itu, mereka akan membaikpulih bahagian dalamannya pula melalui satu proses yang agak teliti,” ujarnya.