SIBU: Sebanyak 31.9 kilogram sisik tenggiling dan 1.98 kilogram sarang burung dirampas, dipercayai cuba diseludup keluar dari sini ke Semenanjung Malaysia menggunakan penghantaran kurier.

Rampasan dilakukan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Sibu pada 25 Jun lalu sekitar jam 5.55 petang, sekali gus menggagalkan penghantaran bahan terlarang itu.

Pengarah Kastam Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata kegiatan itu berjaya dikesan hasil daripada komitmen pihaknya dalam melakukan pemeriksaan lebih kerap ke atas barangan kurier.

Katanya inisiatif itu bagi memastikan barangan import dan eksport dikawal walaupun menggunakan perkhidmatan kurier.

“Modus operandi menggunakan kurier semakin kerap digunakan oleh penyeludup untuk mengelak pemeriksaan ketat yang dilakukan oleh pihak Kastam dan juga agensi lain yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Sharifah, pengimportan dan pengeksportan sisik tenggiling dan sarang burung adalah dilarang di bawah Ordinan Perlindungan Haiwan Liar 1998 (Sarawak) dan boleh disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta kastam 1967.

Harga pasaran untuk sisik tenggiling adalah RM12,500 sehingga RM20,000 sekilogram sekiranya dieksport ke luar negara dan dinilai pada kadar RM800 untuk pasaran tempatan manakala sarang burung dianggarkan bernilai RM 9,900.

Katanya barang rampasan dibawa ke pejabat Kastam untuk siasatan lanjut.

Justeru, beliau menyeru orang ramai supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barangan seperti rokok, minuman keras, dadah dan mercun dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau pejabat Kastam yang terdekat di seluruh negeri.

“Kami memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya.

Sisik tenggiling dan sarang burung yang dirampas