SARIKEI: Rakyat Sarawak perlu mempertahankan perpaduan dan mengelak terlibat dengan sebarang unsur yang boleh menyebabkan perpecahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, Sarawak kekal unik melalui semangat kerjasama dan konsep toleransi yang wujud dalam kalangan penduduknya.

Malah katanya, keunikan itu terserlah ketika sambutan perayaan apabila diraikan dalam suasana harmoni dan muhibbah.

“Oleh kerana itu, manfaatkanlah sambutan Gawai Raya sebagai platform untuk merapatkan lagi hubungan sedia ada.

Pertahankannya kerana perpaduan adalah faktor kekuatan kepada kestabilan politik dan pembangunan negeri kita.

“Sambutan perayaan memberi memberi peluang kepada kita untuk lebih memahami dan hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.45 Repok, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Ramah Tamah Anjuran PBB N.45 Repok di Sarikei, semalam.

Hadir sama, Pengerusi PBB N.45 Repok, Mathias Raya, Ketua Wanita PBB N.45 Repok, Dainah Hassan, Mohammad Fadillah Ali Seman dan Ketua Pemuda PBB N.41 Kuala Rajang, Mohd Tazullah Khan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan jawatankuasa dan ahli parti PBB Repok agar terus bersatu dan bergerak dalam satu pasukan.

Pada masa sama katanya, mereka juga perlu menjaga imej baik parti supaya GPS terus dekat di hati rakyat.

“PBB Repok berperanan penting sebagai pemangkin meningkatkan kehidupan dan membela nasib kaum Bumiputera dalam khasnya bidang politik, ekonomi dan sosial. Saya percaya parti ini terus kukuh walaupun menghadapi banyak cabaran.

“Malah, saya juga sedar ia bukan tugas mudah untuk mengekalkan sebuah parti seperti PBB N.45 Repok melainkan dengan komitmen dan kesungguhan.

“Pada kesempatan ini, saya amat bersyukur dan ingin berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak, khususnya Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di atas beberapa projek berimpak tinggi yang diluluskan untuk kita di kawasan ini.

“Antaranya, projek pembinaan Jalan Sungai Pasi ke Sibu, pembinaan jalan ke Tanjung Manis dan banyak lagi. Ini menunjukkan Abang Jo sangat menyayangi rakyat Sarikei,” katanya.

 

Mengabadikan kenangan bersama ahli PBB Repok.

 

Kehadiran Huang menyerikan lagi majlis.