BETONG: Status kerja fizikal bagi projek pemuliharaan dan menaik taraf Kubu Lili kini mencapai 14 peratus. Menurut Pengurus Projek Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Selatan Nur Aini Rosli, berbanding sasaran sebenar status tersebut menunjukkan sedikit kelewatan yang mana mengikut jadual, ia sepatutnya mencapai 19 peratus.

Bercakap pada Bengkel Pemuliharaan Kubu Lili di Majlis Daerah Betong semalam, projek dijangka siap pada Julai tahun hadapan melalui kontraktor TTP Industries Sdn. Bhd.

Kubu tersebut tersenarai sebagai salah sebuah kubu atau bangunan bersejarah bagi Projek Pemuliharaan dan Menaik Taraf Kubu-kubu Bersejarah di Sarawak dalam Rancangan Malaysia Ke-11 bersama Kubu Emma (Kanowit), Hose (Marudi) dan Brooke di Julau.

Sementara itu, Pegawai Projek Pemuliharaan dan Menaik Taraf Kubu Lili Jabatan Muzium Sarawak (JMS) Norraha Abdul Rahim memberitahu, pihaknya kini menganjurkan Bengkel Pemuliharaan Kubu Lili bersama JKR Sarawak.

Katanya, ia merupakan sebahagian skop projek tersebut bagi memberi pendedahan kepada mereka yang terlibat secara langsung termasuk ketua-ketua masyarakat dan kaum di kawasan sekitar tentang cara kerja pemuliharaan Kubu Lili secara teknikal dan lebih terperinci agar proses membina semula bangunan bersejarah itu berjalan lancar mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Selain itu merupakan salah satu kaedah memberi pemahaman kepada orang ramai mengenai projek selain mendapatkan maklum balas orang ramai bagi penambahbaikan terhadap projek yang bakal menjadi mercu tanda baharu Bahagian Betong,” katanya.

Menambah lanjut, bengkel selama satu hari setengah diisi dengan pelbagai topik. Antaranya projek pembaikan dan pemuliharaan Kubu Lili, sejarah serta pembangunannya, kajian dilapidasi dan skop kerja, dokumentasi pemuliharaan bangunan warisan, kemajuan dan pembangunan projek, kajian strukrur, kajian perkhidmatan bangunan dan kerja pemasangan elektrikal serta mekanikal dan kaji ukur bahan termasuk pengiraan kos.

Kubu Lili dibina pada 1858 merupakan bangunan yang diperbuat daripada kayu belian dan mempunyai atap bertingkat yang unik bagi pengudaraan yang baik

Struktur atapnya yang unik dan tidak terdapat pada kubu-kubu lain pada asalnya diperbuat daripada daun nipah, namun kemudiannya diganti dengan kepingan belian.

Sewaktu zaman Brooke, bangunan ini menyaksikan banyak peristiwa bersejarah apabila ia digunakan sebagai kubu untuk mematahkan beberapa siri serangan pahlawan Iban bernama Rentap dan kumpulannya.

Setelah beberapa ketika, ia diubah suai dijadikan sebagai balai polis dan pejabat kerajaan sebelum tidak digunakan sehingga terbiar begitu sahaja.

Projek ini akan mengubah fungsinya sebagai kubu dan pejabat kerajaan kepada muzium yang akan mempamerkan sejarah dan budaya masyarakat Betong. Bengkel disertai kira-kira 30 peserta.