KUCHING: Seorang lelaki ditemui mati menggantung diri di kawasan tangga tempat letak kereta sebuah pusat beli belah di sini, lebih kurang jam 2.30 petang tadi.

Menurut sumber, mangsa menggantung diri mengguna tali nilon, yang diikat pada pemegang tangga tingkat 12 bangunan berkenaan.

Katanya kejadian disedari pengawal keselamatan pusat beli belah berkenaan dan memaklumkan kepada pengurusannya, yang kemudian segera melaporkan kepada polis.

“Mangsa dipercayai berusia 57 tahun dan beralamat di Batu 4, Jalan Penrissen,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan, mayat mangsa juga sudah disahkan oleh isterinya yang dihubungi sejurus selepas kejadian disedari.

Menurut isteri mangsa, suaminya juga sering mengadu kepadanya yang dia mengalami tekanan jiwa.

Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.